SAUDARA PENGARANG,
KEWUJUDAN Perlis bukanlah bermula di era pemerintahan raja pertamanya, iaitu Syed Hussain Syed Harun. Pertabalan baginda yang dimasyhurkan di Balairung Seri Raja Siam pada 10 Muharam 1250 Hijrah bersamaan 20 Mei 1834 Masihi (Buyong Adil, 2019) membuka lembaran baharu buat negeri yang terletak paling utara Semenanjung.
Hakikatnya, Perlis wujud sejak jutaan tahun lampau. Ini terbukti dengan beberapa pertemuan pelbagai fosil di negeri berkeluasan 819 kilometer persegi itu. Fosil-fosil berusia ribuan tahun, bahkan jutaan tahun merupakan bukti kukuh adanya penempatan awal di bumi yang populasi seramai 254,400 orang. Ditambah penemuan baharu rangka manusia prasejarah di Bukit Keteri seperti dilaporkan akhbar tempatan, baru-baru ini.
Menurut penulis Dr. Ibrahim Bakar (2019), Perlis pada suatu ketika dahulu di bawah kekuasaan Kedah dikenali sebagai Kota Palas atau negeri Palas. Fakta ini ditemui melalui sumber berkaitan Kota Palas, iaitu Hikayat Merong Mahawangsa dan Kitab Undang-undang Negeri Kedah.
Kota-kota yang terdapat di sekitar Perlis juga perlu disingkap sejarahnya. Terdapat banyak nama tempat dimulai perkataan kota seperti Kota Sena, Kota Kayang, Kota Keran, Kota Palas dan Kota Kuala Perlis (Muzium Kota Kayang). Keberadaan kota-kota ini adalah bukti yang Perlis suatu ketika dahulu telah pun maju dan makmur.
Selain itu, terdapat banyak batu nisan Aceh. Berdasarkan bentuknya, si mati merupakan seorang pembesar dalam kalangan orang Aceh yang berhijrah ke negeri ini. Antara makam Aceh yang ada ialah makam Tok Tina Aluih, makam Tok Dining @ Dinding, makam Tok Sena, makam Tok Jaya, makam Tok Gargut dan beberapa makam lain yang dianggarkan 19 buah.
Apa yang menjadi persoalan, kenapa di Perlis tidak ada perkampungan Aceh? Apakah selepas kemangkatan pembesar-pembesar tersebut, pengikutnya kembali semula ke Aceh atau berhijrah ke negeri lain? Apakah tujuan mereka dan kenapa Perlis jadi pilihan? Apakah jasa mereka yang boleh diangkat dan dikenang oleh rakyat Perlis? Semua persoalan ini perlu dijawab dengan kajian berfakta.
Terlalu banyak sekiranya ingin disingkap sejarah negeri yang kecil ini. Walaupun kewujudan negerinya terlalu muda tetapi khazanah sejarahnya sudah sangat mendewasakan.
Saya utarakan isu ini sebagai pembuka jalan kepada pengkaji dan peminat sejarah untuk terus meneroka khazanah silam buat tatapan generasi masa depan.
ASWADY MOHAMED, Presiden Kelab Pelajar/Alumni OUM Alor Setar/Perlis