Bina lebih banyak bangunan hijau - Utusan Malaysia

Bina lebih banyak bangunan hijau

BANGUNAN Green Tech terletak di Bangi, Selangor merupakan salah satu bangunan hijau yang moden dan memiliki sistem bersepadu. -GAMBAR INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM mencapai matlamat pembangunan lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan swasta dengan mengaplikasikan konsep kemapanan dalam kalangan rakyat. Konsep ini mempunyai tiga subtema yang diklasifikasikan sebagai sosial, ekonomi dan persekitaran.

Antara konsep pemapanan yang diterapkan adalah pembinaan bangunan hijau. Malaysia mempunyai bangunan hijau yang diiktiraf oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI), iaitu alat penilai tempatan yang digunakan untuk menentukan sama ada sesebuah premis boleh dikategorikan sebagai bangunan hijau. 

Di Lembah Klang terdapat banyak pembangunan yang diiktiraf sebagai bangunan hijau di peringkat antarabangsa seperti Bangunan Shell dan Nu Sentral yang mendapat pengiktirafan daripada Kepimpinan Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED), Amerika Syarikat (AS).  

Terdapat banyak lagi alat penilai antarabangsa seperti Majlis Bangunan Hijau AS (USGBC) serta Skim Tanda Hijau dan Pihak Berkuasa Kajian Bangunan dan Kaedah Penilaian (BREEAM) dari United Kingdom.  

Konsep hijau tidak asing lagi dalam kalangan kita terutama dengan adanya konsep kitar semula tetapi sayangnya ia tidak diterapkan dengan lebih mendalam sedangkan Malaysia mempunyai pelbagai bangunan hijau yang diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.

Penghuni bangunan hijau tidak menyedari mereka berada di bangunan itu  kerana maklumat tidak sampai secara terus sedangkan ia meliputi kecanggihan dan mempunyai sistem lebih bersepadu. Bangunan hijau memberi kelebihan dari segi luaran dan dalaman kepada pemilik dan penyewa untuk ruang yang lebih kondusif dari sudut pengudaraan dan pencahayaan.

Lokasi strategik sangat penting bagi bangunan hijau oleh kerana penghuni boleh berjalan kaki dan menggunakan pengangkutan awam selain tidak menggalakkan kenderaan sendiri yang akan menyebabkan pengeluaran gas monoksida serta menyumbang kepada kesesakan jalan raya. 

Keselamatan di dalam bangunan hijau lebih canggih kerana sistemnya lebih bersepadu dari segi pengawalan kebakaran dan akses ke dalam bangunan tersebut.

Bangunan hijau memastikan penghuni selesa dan selamat semasa berada di dalamnya. Seni bina, perancangan susun atur, pencahayaan, keselesaan suhu menjadi perkara penting dalam memastikan penghuni mendapat keselesaan maksimum di samping menyumbang kepada pengurangan gas karbon dioksida.

Bangunan hijau juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang ingin menyumbang dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ia membantu memperbaiki imej dan reputasi syarikat di samping memberi kelebihan untuk bekerja dalam keadaan lebih selamat dan selesa.

Konsep pemapanan dan bangunan hijau bukanlah hanya secara fizikal tetapi untuk diterapkan kepada masyarakat secara halus dalam mendidik pemikiran lebih terbuka kepada teknologi semasa di samping menyumbang kepada pengurangan dalam penggunaan bahan-bahan yang mencemarkan alam sekitar.

 

ADIBAH ARIF & NORULELIN HURI, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, UiTM Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya