SAUDARA PENGARANG,
BERMULA 1954, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 20 November setiap tahun sebagai Hari Kanak-kanak Sedunia dan disambut di seluruh negara.
Dalam Islam, kanak-kanak adalah amanah dan tanggungjawab perlu dididik sehingga menjadi manusia cemerlang yang mampu mengambil alih peranan sebagai khalifah memakmurkan bumi Allah SWT.
Menurut ulama dari Syria, Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam kitabnya Tarbiyah al-Awlad terdapat pelbagai cara dan kaedah dalam mendidik kanak-kanak yang bakal mewarisi dan menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Pertama, pendidikan melalui contoh dan teladan. Oleh itu, ibu bapa wajar mengambil inisiatif untuk membentuk kesempurnaan diri dan mempamerkan perlakuan terbaik supaya diikuti oleh anak-anak.
Kedua, pendidikan melalui rutin dan kebiasaan. Jika yang sering dilakukan adalah amalan baik, maka ia akan tertanam dalam diri dan seterusnya membentuk keperibadian yang baik juga.
Ketiga, pendidikan melalui nasihat dan bimbingan. Nasihat mampu membuka minda kanak-kanak terhadap hakikat sesuatu perkara dan mendorong melakukan perkara mulia dan menghias diri dengan akhlak terpuji.
Keempat, pendidikan melalui pengawasan dan pemerhatian. Ibu bapa seharusnya sentiasa memerhati dan mengawasi tingkah laku serta amalan anak-anak supaya tidak melakukan perkara menyalahi perintah Allah SWT.
Kelima, pendidikan melalui denda dan hukuman. Setelah melihat kepada jenis kesilapan anak, ia perlu dihukum. Hukuman perlu berperingkat daripada yang ringan kepada berat.
DR. AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.