SAUDARA PENGARANG,
BERIKUTAN Covid-19 menuju fasa endemik, maka banyak sektor ekonomi dibuka termasuk pelancongan.
Antara tempat kunjungan wajib pelancong sebelum ini ialah Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor yang menjadi pusat kaum India beribadat terutama setiap kali tiba perayaan Thaipusam yang akan disambut pada 18 Januari ini.
Bagi saya, Batu Caves boleh menarik lebih ramai pelancong sekiranya ditonjolkan naratif baharu dalam bentuk mitos atau penceritaan zaman dahulu yang dianggap benar ada kaitan dengan pelbagai kaum.
Mitos Mahsuri wanita berdarah putih yang dikaitkan dengan Pulau Langkawi boleh dijadikan sebagai contoh.
Untuk mengetahui apakah tarikan itu, kita harus mengetahui keunikan Batu Caves yang terdapat patung Dewa Murugan atau Dewa Subramaniar setinggi 42.7 meter yang dikatakan tertinggi di dunia.
Kita juga pernah melihat penganut Hindu mengusung kavadi atau benda berhias yang diusung pada bahu sambil melaungkan vel, vel ketika Thaipusam. Vel bermaksud lembing yang menjadi senjata dewa peperangan terbabit.
Dewa Murugan yang popular dalam kalangan masyarakat India selatan dikatakan berasal dari gugusan tujuh bintang bernama Pleiades yang terletak kira-kira 400 tahun cahaya dari bumi.
Gugusan bintang yang dikenali sebagai Al-Thurayya dalam bahasa Arab turut disebut dalam al-Quran, surah an-Najm.
Dalam sejarah Melayu, Sultan Aceh berasal dari Pahang bergelar Sultan Iskandar Thani (1638-1641) dalam surat kepada pemerintah Belanda menyifatkan dirinya mempunyai perwatakan diri seperti bintang Pleiades.
Masyarakat Nordik (Eropah utara) seperti Denmark, Finland, Iceland, Norway and Sweden juga mempunyai mitos sama mengenai dewa-dewa dari Pleiades.
Ada pihak mengaitkan dewa-dewa dari Pleiades sama dengan watak dalam filem karya Marvel Studios yang terbaharu iaitu Eternals tetapi dalam tradisi agama Hindu ia agak berbeza kerana dewa dianggap perantara antara Tuhan dan manusia.
Dalam pada itu, masyarakat Orang Asli Temuan yang banyak mendiami gua-gua di Batu Caves suatu ketika dahulu juga mengetahui mengenai Pleiades dan gugusan bintang ini dinamakan Bintang Lunga.
Bintang Lunga ialah buruj, iaitu gugusan bintang yang kelihatan membentuk corak tertentu di langit pada waktu malam.
Bagi masyarakat terbabit, kenampakannya di langit menandakan musim buah-buahan di hutan mula masak seperti buah keranji, rotan dan tampoi.
Pesawah di utara Semenanjung juga merujuk bintang ini sebagai Bintang Tujuh atau Bintang Ketika yang terletak bertentangan dengan buruj Belantik (Orion).
Bila gugusan bintang Pleiades dapat dilihat dari sebelah timur, itu menunjukkan sudah tiba Ogos yang dianggap waktu terbaik untuk menabur benih padi.
Di peringkat antarabangsa, kita sudah tentu mengenali jenama kereta, Subaru yang sebenarnya adalah perkataan dalam bahasa Jepun yang merujuk kepada gugusan bintang Pleiades.
Oleh itu, saya berharap Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di Batu Caves yang diuruskan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dapat menyediakan maklumat mengenai Pleiades untuk bacaan pelancong.
Boleh juga dikaji kesesuaian menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat pendidikan dalam bidang astronomi.
Mungkin sesuai juga dibina balai cerap di Batu Caves untuk dikunjungi pelancong pada waktu malam bagi memerhati gugusan bintang di langit.
SUKA MELANCONG, Gombak, Selangor.