Ambil peluang program Kampungstay - Utusan Malaysia

Ambil peluang program Kampungstay

TREND bercuti di luar bandar perlu dimanfaatkan penduduk kampung untuk menambah pendapatan, sekali gus merancakkan industri pelancongan negara. -GAMBAR HIASAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

SUSULAN pembukaan semula kegiatan pelancongan dan kebenaran rentas negeri pada pertengahan Oktober lalu, masyarakat mula menggunakan peluang merancang aktiviti bersama keluarga dan meneroka destinasi baharu terutama kawasan luar bandar. Trend pelancongan kini mengalami landskap perubahan dengan masyarakat mula memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan mencari kawasan yang tidak padat, jarang dikunjungi serta dikelilingi sumber alam semula jadi. 

Justeru, program Kampungstay anjuran  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sangat berpotensi untuk menarik pelancong dan menyemarakkan semula sektor pelancongan negara pasca Covid-19.. 

Kampungstay adalah salah satu kesinambungan daripada pelaksanaan program inap desa yang menggalakkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan. 

Memandangkan Kampungstay menjadi pilihan, maka para pengusaha perlu lebih agresif dan kompetitif memanfaatkan peluang lebih-lebih lagi dalam mempromosi produk pelancongan di pelbagai platform bagi menarik lebih ramai pelancong. 

Walaupun, bantuan sekali beri oleh kerajaan menerusi inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), para pengusaha Kampungstay perlu sentiasa proaktif dan kreatif dalam pemikiran dan tindakan untuk berdaya saing dan merealisasikan peranan desa sebagai penyumbang kelangsungan industri pelancongan luar bandar. 

Dua aspek penting perlu ditekankan dalam mempromosi, iaitu keselamatan lokaliti dan jaminan pengurusan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi faktor terpenting bagi menghidupkan industri pelancongan luar bandar.

Inisiatif Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021 dalam menjadikan pelancongan luar bandar sebagai salah satu pemangkin sosioekonomi Keluarga Malaysia boleh membantu pengusaha yang tidak aktif lagi akibat penularan Covid-19.  

Sumbangan golongan muda dan teknologi maklumat sangat diperlukan bagi membangunkan industri pelancongan luar bandar. Sudah tiba masanya golongan belia mengetengahkan potensi diri dan komuniti setempat dengan membangunkan kampung halaman melalui kemahiran digitalisasi yang mereka ada. 

Masalah tanah berpotensi yang terbiar di kampung disebabkan isu perundangan, sikap pemilik tanah dan ketidaktentuan pemilik juga boleh diatasi jika pihak-pihak berkepentingan peka dan menyedari kepentingan nilai budaya dan estetik yang ada di lokaliti berkenaan. 

Untuk dibangunkan menerusi program dengan penglibatan anak muda desa berumur antara 15 hingga 39 tahun dalam memakmurkan ekonomi desa, golongan belia boleh diberi fleksibiliti dalam membangunkan Kampungstay dengan mempelbagaikan aktiviti-aktiviti bersesuaian seperti sukan pantai dan rekreasi, ekogeo kembara, agropelancongan mahupun ekopelancongan. 

Persepsi negatif seperti persekitaran kurang kondusif, pendapatan rendah, peluang kerjaya terhad, boleh diubah sekiranya golongan belia bijak mencari peluang baharu dan memanfaatkan situasi semasa yang kompetitif.

ANIS SYAZWANI SUKEREMAN, Pensyarah Kanan,  Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya