SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM acara angkat berat kategori 55 kilogram wanita berlangsung di Sukan Olimpik Tokyo 2020, ramai yang tidak mengenali siapa itu Hidilyn Diaz.
Orangnya kecil molek sahaja tetapi mampu dapat mengangkat beban lebih dua kali ganda daripada berat badannya.
Pingat emas yang dimenangi menjadi kebanggaan seluruh rakyat Filipina dan penduduk Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka.
Bukan sahaja pingat emas yang dimenangi Diaz itu menjadi bualan hangat, bahkan cara, kaedah dan liku-liku perjalanannya mencapai kemenangan itu sungguh mengagumkan.
Usaha, semangat, kesungguhan dan kecekalan atlet Filipina itu patut dicontohi oleh para atlet lain.
Dengan serba kekurangan, dia melakukan improvisasi dalam menjalani latihan untuk mencapai matlamat.
Dalam pada itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menemukan ramai calon baharu dari pelbagai parti yang bertanding. Kebiasaannya, calon-calon baharu ini tidak banyak pengalaman.
Dengan mengambil iktibar apa yang dilalui Diaz, calon dilihat tidak sekadar bersandar kepada nama parti yang diwakili sebaliknya berusaha dengan pelbagai cara bagi menarik pengundi kerana sedar banyak perkara yang tidak disangka dan tidak dijangka boleh berlaku.
Mereka sedar, kempen pilihan raya sekarang tidak seperti dahulu lagi. Janji dan manifesto sudah tidak relevan lagi.
Ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands pada 2019, seorang pengundi warga emas, Rahana Hassan pernah tular dalam media sosial kerana menyebut:
“Harapan tak Harapan mak cik tak tahu, kalau buat surat lawyer boleh, janji kalau cakap mulut sahaja mak cik tak percaya.”
Kenyataan warga emas itu ada benarnya kerana banyak kali sudah terbukti segala janji tidak dapat ditunaikan dan manifesto tidak dapat dicapai.
Ketika PRN Melaka, PH melancarkan manifesto dinamakan Pelan Tindakan – Maju Bersama Harapan yang menggariskan 32 inisiatif merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi, usahawan dan reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.
Janji-janji penggubalan enakmen Anti Lompat Parti bagi menjamin kestabilan Melaka dan mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang setaraf exco kerajaan negeri nampaknya tidak banyak dapat mengubah pendirian pengundi.
Dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, calon-calon juga dilihat mengimprovisasi kaedah berkempen dan mendekati para pengundi sepertimana Diaz mengimprovisasi cara dan tempat latihannya.
Diaz mempunyai pasukan dinamakan Team HD yang banyak membantunya ketika susah dan senang. Begitu juga calon yang mempunyai jentera parti yang membantu mereka pada bila-bila masa diperlukan.
Sebagaimana Diaz yang mampu mengangkat beban lebih daripada dua kali ganda berat badannya, calon PRN Melaka telah bekerja keras berlipat kali ganda dalam berkempen.
Mereka yang menang mesti sanggup memikul tanggungjawab dan amanah yang berkali ganda daripada jangkaan.
Pada mulanya ramai yang tidak mengenali Diaz tetapi setelah mengecap kemenangan, dia menjadi terkenal dalam sekelip mata.
Namun, Diaz tidak lupa daratan dan tidak lupa bantuan. Dia kembali ke Kampung Kesang Tua untuk menjalani latihan dan menghargai segala jasa penduduk kampung dan mereka yang telah banyak membantunya.
Begitu calon PRN Melaka yang baharu, anda tidak dikenali ramai sebelum ini. Anda kini bertambah terkenal setelah mencapai kemenangan.
Jangan lupa diri setelah mencapai kemenangan. Hargai segala jasa dan pengorbanan mereka yang telah banyak membantu anda.
N. NASIR, Bangi, Selangor.