SAUDARA PENGARANG,
TULAR di media sosial berhubung harga makanan yang mahal di sebuah kedai makanan di Pulau Langkawi masih belum reda. Ramai mempertikaikan harga ikan yang dikatakan terlalu mahal dan menganggap pelanggan dianiaya. Namun, ada juga golongan menyalahkan pelanggan yang tidak bertanyakan harga terlebih dahulu sebelum meneruskan pesanan.
Pun begitu, di media sosial atau di dada akhbar melaporkan, peniaga menyalahkan pelanggan dengan mengatakan pihaknya telah menjelaskan apa yang sepatutnya termasuk berat ikan dan pelanggan pula mendakwa telah memaklumkan apa yang dikehendakinya. Kedua-dua pihak tidak mengaku bersalah.
Pada saya, mudah sahaja. Kalau benar pelanggan itu jujur maka perlulah bersikap bertanggungjawab menyatakan secara lengkap (apa yang sebenarnya berlaku). Begitu juga peniaga perlu jujur dalam menyatakan kuantiti atau kualiti makanan atau masakan yang ditawarkan dan pastikan kedua-duanya berpuas hati.
Memang adakala pelanggan tidak kesah sangat dengan harga asalkan berpatutan dan peniaga pula mengamalkan sikap bertolak ansur atau lebih kurang dalam hal bayaran tetapi pada masa sama, pastikan tidak berlaku salah faham apatah lagi ia merupakan rezeki pelanggan dan peniaga.
Dalam kes ini, kedua-duanya perlu ambil jalan tengah dengan peniaga boleh memulangkan baki harga ikan (mengikut kadar harga terbaik) yang dirasakan mahal sementara pelanggan pula perlu memohon maaf.
Sikap sebegini akan dapat mengelakkan salah faham dan kedua-dua pihak sudah pastinya berpuas hati. Ini akan membolehkan perniagaan kedai makan tersebut terus beroperasi serta menjadi pilihan pelanggan untuk berkunjung.
DZANMUO, Bakri, Muar