Ada hikmah tersirat di sebalik isu siakap mahal - Utusan Malaysia

Ada hikmah tersirat di sebalik isu siakap mahal

TIDAK timbul isu harga sekiranya penjual dan pembeli memahami urusan akad jual beli dalam ajaran Islam. -GAMBAR HIASAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI SEBALIK  isu pertikaian dan perdebatan harga ikan siakap di Restoran Terapung Ras Rimba, Pulau Langkawi, Kedah, rupa-rupanya terkandung hikmah yang membuka minda masyarakat Islam agar peka dan prihatin dalam soal urusan berkaitan muamalat.

Dalam disiplin ilmu fiqh atau hukum Islam, terdapat kupasan mendalam berhubung soal halal haram dan pemakanan termasuk sekiranya terdapat unsur gharar (penipuan, kerosakan atau penganiayaan).

Hal ini boleh dijadikan asas panduan bersandarkan riwayat  Imam al-Hakim yang bermaksud: “Tidak halal bagi seseorang yang menjual sesuatu jualan melainkan hendaklah dijelaskan kekurangan dan tidak halal bagi orang yang mengetahui sesuatu keaiban melainkan hendaklah dinyatakan”.

Langkah terbaik bagi pelanggan sekiranya  tidak berpuas hati hendaklah diadukan atau disalurkan  pada tempat yang betul. Contohnya, kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur-unsur gharar seperti jenis lauk sudah basi atau menipu dalam sukatan timbangan dan sebagainya.

Ini kerana tindakan mengaibkan sesama sendiri dan menularkan di sosial media dianggap tidak beradab sehingga menimbulkan persepsi buruk serta mendapat reaksi balas pro dan kontra daripada netizen.

Tidak timbul sama sekali  berlakunya jurang antara golongan kayangan dan marhaen sekiranya kita sendiri betul-betul faham tentang fiqh pemakanan. Sepatutnya dalam urusan muamalat sesama kita umat Islam tidak harus dipandang remeh dan memejamkan sebelah mata.

Selain itu, wajar bagi setiap pelanggan mengambil berat atau setidak-tidaknya mengetahui serba sedikit selok belok al-Taradi yakni kerelaan semasa urusan akad jual beli hatta dalam soal makan dan minum.

Justeru, janganlah dipanjangkan lagi isu ini dan diharapkan baik pelanggan mahupun peniaga dapat menerimanya dengan berlapang dada atas salah faham yang berlaku. Semoga ia menjadi pengajaran serta peringatan kepada semua pihak.

MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya