Undi orang muda bukan suka-suka - Utusan Malaysia

Undi orang muda bukan suka-suka

GOLONGAN muda perlu benar-benar memahami konsep dan tujuan pilihan raya diadakan dengan memilih calon yang benar-benar layak. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUKA  atau tidak, pengundi muda bakal mewarnai dan mengubah landskap politik negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.  

Untuk itu, golongan muda yang berusia  18 tahun  dan ke atas mewakili seramai 5.8 juta pengundi di negara ini.

Disebabkan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  diminta menyemak maklumat pengundi dan bakal pengundi baharu agar  mereka yang layak diberi peluang untuk menentukan kerajaan. Sudah pastinya sebagai rakyat, kita mahukan undi golongan tersebut  boleh menyumbang kepada masa hadapan negara. 

Namun begitu, pada  masa sama timbul kebimbangan tentang kesedaran berpolitik, sentimen dan emosi dalam kalangan golongan muda ini.

Adakah mereka benar-benar sudah bersedia untuk berpolitik dan proses peremajaan oleh parti-parti tertentu telah dibuat? Ini kerana bilangan mereka yang besar sudah tentu memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap golongan muda ini.

Begitu juga pemilihan calon yang diketengahkan tentulah datang dari pelbagai latar belakang dan tahap pendidikan seperti  calon populis, diminati seperti selebriti, kaya atau berpendidikan  tinggi. 

Di sinilah, kita meletakkan harapan kepada pengundi muda agar  bertanggungjawab ketika mengundi. Ini kerana mereka perlu sedar, bukan sekadar diberikan peluang mengundi tetapi setiap undi akan menentukan hala tuju negara pada masa depan.

Sudah tentu rakyat mahukan calon yang bakal diketengahkan sebagai wakil rakyat muda nanti melalui proses pemilihan jujur dan telus serta bersandarkan bakat kepimpinan dan sejarah penglibatan mereka dalam masyarakat. 

Selain itu, kita juga mahu melihat barisan jemaah menteri diwarisi oleh  wakil rakyat muda. Orang muda yang bergelar wakil rakyat perlu memasang niat untuk memikul tanggungjawab berat demi pengundi dan cuba menonjolkan bentuk kepimpinan yang boleh diteladani dengan tidak mengulangi beberapa dasar kepimpinan lama yang ternyata salah. 

Janganlah hanya memandang habuan dan kemewahan yang dikecapi semetelah dipilih  sebagai wakil rakyat seperti kadar gaji yang mencecah puluhan ribu ringgit dan pelbagai keistimewaan lain seperti kenderaan dan sebagainya. Kalau begitulah niatnya, tiada ertin kerajaan melaksanakan Undi18. Ini kerana kewibawaan dan karisma golongan muda akan dipertikaikan.

Kita mahukan bakat kepimpinan golongan muda ini diketengahkan dengan  cara yang sihat dan betul serta menjadi contoh ikutan pemimpin dewasa. 

Oleh itu, calon pemimpin muda yang berpotensi perlu digarap kepimpinan mereka sesuai dengan hala tuju dan aspirasi negara. Kita tidak mahu nanti  undi golongan muda  ini menjadikan politik negara makin berpecah dan jauh sekali untuk melihat kepimpinan negara diterajui oleh wakil rakyat muda yang berkarisma dan berwibawa.

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya