SAUDARA PENGARANG,
SAYA tertarik dengan jaminan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke arah memperkasakan bahasa Melayu.
Pendekatan tersebut amat wajar dibuat supaya kerajaan tidak meletakkan semua tanggungjawab kepada DBP sahaja.
Ketika memberi jaminan semasa merasmikan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2021 yang diadakan secara maya, Radzi turut menegaskan, tanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu harus dipikul oleh semua individu.
Saya bersyukur apabila menteri memberi jaminan sedemikian untuk memastikan bahasa Melayu dimartabatkan selaras ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam konteks ini, semua pelajar tanpa mengira kaum wajib belajar dan lulus mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat peperiksaan awam sekolah menengah.
Perkara tersebut telah lama dilaksanakan dan ternyata ia menampakkan kejayaan apabila bukan sahaja pelajar Melayu, malah dalam kalangan bukan Melayu juga mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan mata pelajaran tersebut.
Dengan kemampuan semua kaum menguasai bahasa Melayu, sudah pasti akan merapatkan hubungan sesama rakyat sejajar matlamat Keluarga Malaysia.
Setelah tamat pengajian, mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor perjawatan, jangan pula mengabaikan penggunaan bahasa Melayu.
Dalam hal ini, masih terdapat orang korporat dan ahli politik yang mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris.
Justeru, saya berharap sikap tersebut dihentikan untuk sama-sama kembali mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pertuturan harian, baik dalam majlis rasmi atau sebaliknya.
Jangan pandai menulis dan bercakap bahasa Melayu semasa belajar untuk lulus peperiksaan sahaja, tetapi setelah tamat pengajian dan bekerja, tanggungjawab itu dilupakan.
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis.