Terbit sambungan filem Ibu Mertua-ku - Utusan Malaysia

Terbit sambungan filem Ibu Mertua-ku

ANUGERAH paling istimewa pernah diterima oleh P.Ramlee ialah anugerah khas Bakat Seni Yang Menyerlah (The Most Versatile Talent) yang dimenangi semasa Pesta Filem Asia di Tokyo 1963 menerusi filem Ibu Mertuaku (1963).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA sering disajikan di kaca televisyen dengan telefilem dan drama rantaian yang berkisar tentang cinta bersegi-segi, keluarga kaya dan miskin, perebutan harta pusaka dan kisah-kisah klise orang Melayu.

Ada yang menarik, ada yang suam-suam air suam kedai mamak dan ada pula yang sejuk beku.

Oleh kerana kurang pilihan selain saluran-saluran platform perniagaan, bicara politik dan perbalahan tentang vaksin, maka kita terpaksa tonton juga.

Untuk menghasilkan drama atau ­filem genre ­ fiksyen sains, aksi atau pengembaraan, memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Dalam keadaan semasa, agak sukar bagi para penerbit untuk menghasilkan drama atau ­ filem sedemikian rupa. Salah sebuah ­ filem hebat yang pernah dihasilkan suatu masa dahulu ialah Ibu Mertua-ku.

Filem keluaran 1962 ini meninggalkan kesan mendalam kepada para penonton dan tidak jemu ditonton berkali-kali.

Ramai juga yang telah menghafal dialog-dialog dalam ­filem tersebut dan menuturkannya dalam perbualan harian.

Watak-watak seperti Kassim Selamat, Sabariah Mansoor, Nyonya Mansoor, Chombi, Mamak Mahyudin, Doktor Ismadi, Abang Ali, Salbiah dan juga Ba’im masih diingati hingga ke hari ini.

Sebut sahaja nama mereka, kita akan teringat lakonan dan dialog mereka dalam ­ filem tersebut.

Satu perkara yang menimbulkan persoalan dalam pemikiran saya ialah kenapa ­filem Ibu Mertua-ku yang hebat itu tidak ada ­filem susulan seperti ­ filem-­filem Do Re Mi, Bujang Lapok serta Labu dan Labi?

Berkemungkinan juga ­filem sehebat itu pada pandangan penulis cerita, penerbit dan pengarahnya, tidak perlu ­filem susulan.

Misalnya Bobby, tiada ­filem susulan walaupun ia kategori ­ filem pecah panggung dan ‘sakit punggung’ (169 minit).

Bagi peminat ­ filem Ibu Mertua-ku, ramai tertanya-tanya, apa yang berlaku seterusnya kepada Kassim dan Chombi? Adakah mereka bernikah sekembali ke Pulau Pinang?

Adakah Tajuddin, anak Kassim bersama Sabariah, kenal siapa ayahnya yang sebenar? Sejauh mana dendam Nyonya terhadap Kassim?

Tidak dapat dipastikan sama ada Nyonya pengsan atau meninggal dunia akibat terkejut di akhir babak.

Oleh itu, saya ingin melontarkan cabaran kepada penulis skrip, penerbit dan pengarah drama atau ­ filem di Malaysia untuk menghasilkan drama atau ­filem susulan dengan tajuk sama ada Ibu Mertua-ku 2 atau Kassim Selamat ataupun tajuk-tajuk lain yang di­fikirkan sesuai untuk tatapan penonton.

Pelakon-pelakon veteran yang masih hebat boleh digabungkan dengan pelakon-pelakon muda untuk membawa watak-watak asal dan watak-watak baharu.

Antara cabaran untuk menghasilkan drama atau ­ filem lama adalah latar belakang 1960-an atau 1970-an, misalnya rumah, bangunan, kenderaan dan jalan raya. Begitu juga dengan busana, aksesori, perabot, telefon dan lain-lain.

Tambahan lagi, watak wanita dalam ­ filem lama terbabit tidak lengkap dos menutup aurat sedangkan ramai pelakon wanita sekarang terutama pelakon veteran telah lengkap dos menutup aurat sepenuhnya.

Cuba semak dengan para ulama sama ada penggunaan rambut palsu dibolehkan sebagai dos penggalak menutup aurat kepala bagi tujuan lakonan.

Berkenaan dengan hak cipta, terutamanya dalam menggunakan watak-watak asal, mungkin kerajaan melalui kementerian berkaitan boleh membantu.

Cadangan penghasilan ­ filem susulan ini bukan untuk bersaing atau menidakkan kehebatan ­filem asal tetapi lebih kepada kesinambungan watak-watak asal di samping memperkenalkan watak-watak baharu dan memperkembangkan skop cerita asal.

Tidak dinafikan, sukar bagi sesiapa pun untuk menyamai, jauh sekali melebihi, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Begitu juga Albert Einstein yang dikatakan tiada pengganti sebelum ini. Namun, sekarang telah muncul ahli ­ fizik, Sabrina Gonzalez Pasterski.

Di Mana Kan Ku Cari Ganti filem sehebat Ibu Mertua-ku? Dengarlah Jeritan Batinku wahai para penerbit drama dan filem.

Jangan Tinggal Daku merintih keseorangan mendambakan sambungan cerita berkenaan.

N. NASIR, Bangi, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya