SAUDARA PENGARANG,
SAYA tidak menjangkakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengeluarkan idea dan pandangan yang membantutkan akal berhubung had umur lesen memandu bagi golongan warga emas. Cadangan itu harus dikaji semula oleh Kementerian Pengangkutan.
Pun begitu, Menteri Pengangkutan tidak menyokong kenyataan tersebut dengan mengatakan ia harus menjadi pilihan terakhir memandangkan golongan pemandu berusia 70 tahun mempamerkan kemahiran yang lebih baik berbanding pemandu lebih muda.
Umumnya secara analogi, setiap kemalangan dikaitkan dengan sikap pemanduan serta ada kalanya disebabkan oleh faktor kecuaian manusia itu sendiri. Salah satunya, banyak kes berlaku membabitkan pemandu mabuk.
Justeru, sepatutnya pihak penguat kuasa undang-undang jalan raya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menarik balik lesen seumur hidup bagi kes pesalah pemandu mabuk yang terbabit dengan kemalangan maut, bukannya warga emas.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Kepala Batas, Pulau Pinang