Tak perlu bunuh semua tikus - Utusan Malaysia

Tak perlu bunuh semua tikus

TIDAK semua tikus perlu dibunuh dan dihapuskan kerana ada spesiesnya yang diancam kepupusan akibat kemusnahan habitat.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIKUS merupakan haiwan kecil mamalia terbesar dengan jumlah sebanyak 561 spesies dari 126 genus yang direkodkan di dunia. Selain tikus, haiwan kecil lain yang seakan-akannya seperti cencurut atau nama saintifiknya suncus murinus sementara hamster, guinea pig (tikus belanda), sugar glider dan hedgehog (landak kecil) dijadikan haiwan peliharaan. 

Kehadiran tikus tidak disenangi  kerana ia menyumbang kepada pelbagai penyakit bahaya. Tikus merupakan vektor penyakit atau saintifiknya dipanggil zoonosis. Leptospirosis atau lebih dikenali sebagai penyakit kencing tikus sering dikaitkan dengan manusia. Penyakit kencing tikus disebabkan oleh bakteria leptospira spp. yang terkandung dalam air kencing tikus. Bakteria bahaya ini juga boleh berada pada mana-mana anggota badannya yang lain. 

Penyakit ini juga boleh menyebabkan kegagalan pada organ dalaman yang boleh membawa kepada kematian. Bakteria ini juga boleh menjangkiti haiwan ternakan dan peliharaan. 

Selain Leptospirosis, terdapat penyakit lain yang dibawa oleh tikus iaitu plague, murine typhus dan scrub typhus yang disebabkan oleh bakteria dan parasit. Oleh itu, tikus merupakan penunjuk utama kebersihan bagi sesebuah kawasan dan secara tidak langsung turut dikaitkan dengan sikap masyarakat di sesuatu tempat atau negara.

Tikus merupakan pelengkap pada rantaian makanan. Tikus merupakan pemangsa kepada serangga dan haiwan kecil.  Tikus juga menjadi sumber makanan kepada haiwan lain seperti burung hantu, burung helang, biawak, kucing dan ular. Penurunan drastik bilangan tikus akan mengakibatkan ketidakseimbangan dalam rantaian makanan dan boleh memutuskan sistem piramid makanan. Bilangan haiwan dalam ekosistem perlu seimbang bagi memastikan ia saling melengkapi. 

Tikus juga berperanan sebagai penyebar biji benih melalui pembuangan najis yang mengandungi biji benih. Oleh kerana tikus suka menggali lubang dan tinggal di dalam tanah yang secara tidak langsung dapat membantu proses penyuburan tanah. Di samping itu, tikus juga berperanan sebagai pengedar kulat yang wujud di  tanah. Penyebaran spora kulat dari satu tempat ke tempat lain bergantung kepada bantuan tikus sebagai penyebar benih.

Dari sudut pandangan saintifik, para saintis beranggapan tikus sangat berguna dan turut memberi manfaat kepada manusia sebagai bahan uji kaji. Ini bermakna ia perlu dilihat dari segi keseimbangan ekosistem dan juga dari sudut kesihatan. 

NURHALIMAH MOHD. SAAD & DR. HASMAHZAITI OMAR, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya