Tadika hanya fikir untung - Utusan Malaysia

Tadika hanya fikir untung

PANDEMIK Covid-19 yang berpanjangan meninggalkan kesan terhadap pembelajaran secara bersemuka kanak-kanak prasekolah yang bakal melangkah ke tahun satu bulan depan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANAK saya berusia enam tahun dan bersekolah di sebuah prasekolah swasta yang terkenal dan memiliki banyak cawangan di seluruh negara.

Baru-baru ini saya menerima pesanan Whatsapp meminta ibu bapa membayar yuran penuh bagi sesi Oktober memandangkan prasekolah dibenarkan untuk kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Namun, setahu saya kebenaran tersebut adalah bagi ibu bapa yang terpaksa bekerja di pejabat. Pihak sekolah juga memaklumkan sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, mereka masih tetap perlu membayar yuran bulanan penuh walaupun tidak menggunakan kemudahan di sekolah.

Adakah ini adil sedangkan kami yang banyak mengeluarkan perbelanjaan  untuk membeli keperluan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) seperti pencetak, dakwat, kertas dan sebagainya?

Berbeza pula dengan sebuah lagi prasekolah swasta yang masih mengekalkan potongan hampir 50 peratus yuran sekolah sekiranya ibu bapa masih bekerja dari rumah dan risau keselamatan serta kesihatan anak dengan memilih untuk meneruskan PdPR. Inilah sewajarnya dan tidak membebankan ibu bapa.

Soalannya, tidak adakah satu prosedur berhubung perkara ini yang boleh dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan? Di sini jelas pihak sekolah membuat keputusan berdasarkan keperluan mereka demi meneruskan kelangsungan sekolah berkenaan.

Ya, kami memahami pengurusan sekolah memberi alasan bayaran penuh tetap dikenakan memandangkan mereka perlu membayar gaji pekerja dan menanggung kos-kos tertentu. Namun, perlu juga ada tolak ansur dalam menyelesaikan isu ini.

Pihak sekolah tidak seharusnya memikirkan untung semata-mata dengan mengenakan yuran penuh memandangkan banyak belanja dapat dijimatkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada juga mendengar beberapa ibu bapa memilih untuk memberhentikan persekolahan anak mereka sedangkan hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum menamatkan sesi persekolahan tahun ini.

Diharap Kementerian Pendidikan mencari satu jalan penyelesaian bagi semua prasekolah di negara ini. Jika tidak, sistem pendidikan akan menjadi cacamarba sedangkan keperluan pendidikan awal penting dalam membantu mengembangkan prestasi anak-anak  ketika memasuki alam persekolahan sebenar. Malah mereka tidak rasa terpinggir kerana sudah mengenali dan mempelajari asas pendidikan.

ADRA, Selangor

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya