Sungai penuh najis sebar Covid-19 - Utusan Malaysia

Sungai penuh najis sebar Covid-19

SEKIRANYA manusia lebih berhati-hati dalam menggunakan sumber air bersih, ia boleh menyumbang pelbagai fungsi. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEKURANGAN air bersih adalah salah satu cabaran yang dihadapi dunia pada abad ke-21. Apabila penduduk bertambah, maka permintaan untuk makanan dan tenaga meningkat. Ini akan memberi tekanan terhadap ekosistem air tawar seperti sungai. Sedarkah kita peningkatan eksploitasi sumber air secara global menyebabkan penurunan biodiversiti air tawar yang ketara?

Biodiversiti sungai menderita akibat pengambilan air secara berlebihan, pencemaran sungai dan dari infrastruktur air yang tidak dirancang dengan baik. Laporan kajian saintis di seluruh dunia menunjukkan penurunan dalam biodiversiti air tawar mungkin paling curam di antara semua jenis habitat di bumi. Ini menjadi semakin jelas apabila di wilayah dan skala global, biodiversiti air tawar lebih teruk terancam daripada biodiversiti darat atau laut.

Ekosistem air tawar merupakan rumah bagi 40 peratus dari semua spesies ikan walaupun air tawar merupakan kurang 0.01 peratus daripada jumlah permukaan air dunia. Apabila amfibia, reptilia dan mamalia yang hidup di kawasan berdekatan ekosistem air ditambah ke jumlah 40 peratus ikan tersebut menjadikan ia merangkumi satu pertiga daripada biodiversiti vertebrata global. Pada anggaran konservatif, terdapat penurunan sebanyak 70 peratus bagi populasi global biodiversiti air tawar antara 1970 dan 2020.

Sekiranya menggunakan sumber air bersih dengan lebih berhati-hati, ia boleh menyumbang kepada pelbagai fungsi tetapi malangnya kebanyakan manusia hanya melihat sungai sebagai pembekal air dan sebagai parit saliran.

Lebih merisaukan, sungai dengan sedikit atau tanpa aliran dipenuhi banyak sampah cenderung menjadi pusat penyakit seperti kolera, hepatitis dan polio.

Kesan utama perubahan iklim lebih cenderung dirasakan melalui perubahan pada kitaran hidrologi. Banyak sungai di seluruh dunia berhenti mengalir manakala yang lain hanya membawa air buangan. Lebih membimbangkan apabila saintis mengenal pasti virus Covid-19 dapat disebarkan melalui air sungai yang tercemar najis. Di sinilah pentingnya kerjasama dunia dalam berganding bahu bagi menggembleng usaha untuk meningkatkan dan menambah baik pengurusan air serta memastikan kelestarian air menjadi salah satu matlamat utama masyarakat dunia.

Ramai pemimpin dunia menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu kekurangan air bersih beberapa tahun kebelakangan ini. Suara yang berpengaruh dalam ekonomi global juga semakin memperkatakan mengenai risiko yang berkaitan dengan air sebagai ancaman yang timbul terhadap perniagaan. Bersediakah kita untuk menyumbang tenaga bagi mengekalkan kelestarian sungai dan biodiversiti? Tepuk dada, tanyalah hati.

DR. SARAH ABDUL RAZAK
Institut Sains Biologi, Fakulti Sains,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya