SAUDARA PENGARANG,
SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam laporan pertengahan penggal baru-baru ini menyatakan semua undang-undang murtad syariah sebagai diskriminasi melanggar Perkara 8 perlembagaan kita.
Suhakam menyatakan: “Walaupun Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan senyap sama ada kebebasan beragama di Malaysia termasuk kebebasan untuk keluar atau menukar agama, undang-undang syariah negeri memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk membuat pengisytiharan seseorang itu bukan lagi Islam dan menjadikan murtad jenayah hanya kepada Muslim dan Muslim di negeri-negeri tertentu. Oleh itu, undang-undang ini mungkin tidak serasi dengan hak seseorang untuk kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Fasal 8(1), terutama apabila kesan berbangkit daripada penukaran agama orang Islam kepada agama lain melampaui pengecualian yang dibenarkan berdasarkan undang-undang peribadi di bawah Fasal 8(5)(a) (misalnya dalam menukar status atau nama pada MyKad, hak milik harta).
Dengan ketiadaan sebarang pengecualian yang sah dan klasifikasi rasional, Suhakam mendapati undang-undang murtad negeri di Malaysia adalah satu diskriminasi dan lebih berkemungkinan mengganggu kebebasan beragama umat Islam.”
Pengeliruan dan penyelewengan tafsiran undang-undang
Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendapati pendirian Suhakam mengenai perlembagaan mengelirukan dan disalah tafsir dan ingin menyatakan kebimbangan yang mendalam kami terhadap cara Suhakam menggunakan tafsiran undang-undang yang tidak konvensional dan memesong dalam mempromosikan hak asasi manusia. Kaedah salah ini hanya akan memupuk perpecahan yang mendalam dalam masyarakat dan mencemarkan reputasi pergerakan hak asasi manusia di Malaysia.
Dalam laporannya, Suhakam jelas gagal memahami dualiti undang-undang yang termaktub dan terpakai dalam perlembagaan kita. Walaupun Melayu/bumiputera Muslim adalah golongan majoriti di negara ini, umat Islam tertakluk kepada kedua-dua undang-undang sivil dan syariah.
Ini bermakna orang Islam akan tertakluk kepada kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah terhadap perlakuan yang mana bukan Islam bebas untuk melakukannya tanpa sebarang hukuman. Secara teknikal ini dengan sendirinya adalah satu bentuk diskriminasi berdasarkan agama dan kepercayaan.
DUALITI UNDANG-UNDANG
Dualiti undang-undang ini adalah terhasil dari sejarah yang panjang dan merupakan sebahagian daripada kompromi perlembagaan kita. Walaupun zahirnya tidak nampak adil, tetapi umat Islam di sini sebenarnya mahu atau tidak kisah untuk tertakluk kepada dualiti undang-undang ini yang telah diamalkan sejak sekian lama sebelum merdeka. Malah, terdapat sebilangan besar umat Islam yang mendesak agar lebih banyak undang-undang Syariah dikenakan ke atas umat Islam.
Disebabkan oleh tradisi budaya yang lama inilah bapa bangsa kita secara nyata mengiktiraf dualiti ini dan menyematnya dalam perlembagaan kita dengan menganggapnya bukan satu diskriminasi yang melanggar hak perlembagaan kita.
Kesalahan jenayah syariah adalah berperlembagaan.
Perkara 8(2) dengan jelas menyatakan: “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang…”
Menurut peruntukan di atas, perlembagaan meletakkan pelbagai pengecualian yang jelas khususnya Perkara 8(5) dan dalam Jadual ke-9.
Perkara 8(5)(a) menetapkan: “Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri;”
Butiran 1 senarai II Jadual Ke-9 (Senarai bidang kuasa perundangan negeri) pula secara nyata memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk meluluskan undang-undang yang berkaitan dengan “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu.”
Melalui senarai perundangan inilah semua kesalahan jenayah syariah mendapat sumber kuasanya. Mana-mana undang-undang jenayah syariah yang digubal oleh mana-mana badan perundangan negeri menurut Jadual Ke-9 adalah sah dan berperlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai melanggar Perkara 8 secara diskriminasi.
Oleh itu, adalah tidak dapat difahami bagaimana Suhakam boleh menghujahkan mana-mana undang-undang syariah sebagai diskriminasi yang melanggar Perkara 8 sebagaimana yang dihujahkan dalam laporannya apabila Perkara 8(2) dengan jelas menyatakan sebaliknya.
Ia juga menimbulkan persoalan sama ada Suhakam sebagai sebuah agensi kerajaan telah mendapatkan pandangan daripada pihak Jabatan Peguam Negara dalam mentafsir perlembagaan. Suhakam mesti telus sama ada ia telah mentafsir perlembagaan sewenang-wenangnya atau telah meminta pandangan berwibawa daripada Peguam Negara.
Macsa dan PPMM menyeru Suhakam untuk menegakkan perlembagaan dalam mempromosikan hak asasi manusia di Malaysia. Menggunakan kaedah yang tidak jujur atau lurus (disingenuous) untuk mempromosikan hak asasi manusia hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan terhadap Suhakam dan pergerakan hak asasi manusia.
DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR, Presiden PPMM & LUKMAN SHERIFF ALIAS, Pengerusi Macsa.