SAUDARA PENGARANG,
NEGARA akan berhadapan beberapa pilihan raya negeri (PRN) seperti di Melaka dalam masa terdekat. Begitu juga PRN Sarawak dan sudah tentu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka tahun depan.
Berdasarkan perkembangan politik hari ini yang masih lagi tidak stabil, mungkin ada sesetengah pihak enggan keluar mengundi. Tidak kurang pula mereka yang pernah mendaftar tetapi tidak mengambil tahu lokasi tempat mengundi kerana terlupa atau kerap berpindah.
Disebabkan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mempamerkan nama-nama dan tempat mengundi di sesuatu kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) di dada akhbar tempatan setiap kali pilihan raya mahu diadakan. Hal ini akan memudahkan urusan menggempur mereka keluar mengundi oleh pihak-pihak tertentu.
Keputusan peringkat peti undi patut juga disiarkan. Ia akan memudahkan rakyat mendapat makluman jelas dan tepat berhubung keputusan sesuatu pilihan raya.
CUCU CICIT TOK JANGGUT, Jeram, Pulau Pinang