SAUDARA PENGARANG,
KESESAKAN jalan raya di Lembah Klang sudah menjadi perkara biasa dan rutin harian pemandu kenderaan.
Saya merupakan pemandu yang berulang-alik ke tempat kerja dari Cheras ke Shah Alam, Selangor, lima hari seminggu.
Masalah ini mengganggu emosi kerana saya terpaksa menghadap kesesakan selama satu jam, kadangkala mengambil masa dua jam.
Menggunakan Lebuh Raya Cheras-Kajang, kesesakan paling kritikal adalah dari Bandar Sri Permaisuri sehingga Cheras Sentral.
Pada waktu pagi pula, bermula dari Batu 9, Cheras menghala Jalan Cheras dan Jalan Loke Yew.
Bukan sahaja hari biasa, kesesakan turut berlaku pada hujung minggu. Keadaan kembali teruk selepas rentas daerah dibenarkan.
Sangat memenatkan. Separuh tenaga sudah dihabiskan di atas jalan raya dan bagaimana kita ingin bekerja dengan penuh produktif?
Kita sedia maklum terdapat kerja-kerja pembinaan lebuh raya di situ, namun saya berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu tersebut dengan segera kerana sudah berlarutan sejak sekian lama.
Malah kesesakan semakin teruk pada setiap Rabu ketika waktu puncak dari pukul 6 petang sehingga 8.30 malam di Taman Connaught disebabkan ada pasar malam.
Pemandu meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga mengganggu lalu lintas dan menyebabkan kesesakan menjadi dua kali ganda lebih teruk.
Bagi saya, lokasi pasar malam tersebut perlu diubah memandangkan ia terletak di kawasan letak kenderaan di lot kedai dan di tepi lebuh raya.
Hanya melalui cara ini boleh mengurangkan kesesakan melampau pada hari tersebut.
ZUL, Cheras, Selangor.