SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri baru-baru ini amat dialu-alukan oleh seluruh lapisan masyarakat. Hampir seluruh rakyat telah mengharungi tempoh kesusahan kira-kira dua tahun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilaksanakan untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Namun, kita tidak boleh mengambil kesempatan ke atas kelonggaran yang diumumkan. Jangan ambil sikap lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, penjagaan jarak serta pengimbasan kod respons pantas (QR) MySejahtera adalah wajib dilaksanakan walaupun negara mencatatkan penurunan kes amat ketara berbanding beberapa bulan terdahulu.
Rakyat perlu akur terhadap pematuhan SOP yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan. Terdapat kemungkinan ia tidak akan berlarutan selama-lamanya dan realiti tersebut mungkin dapat dicapai lebih awal dengan kerjasama padu semua pihak.
Perlu ingat, kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), pelitup muka, penjarakan fizikal dan cecair sanitasi tangan adalah ‘peralatan’ semata-mata dalam perang menentang virus Covid-19. Sikap dan mentaliti seseorang itu juga membawa nilai yang sama dalam usaha memerangi wabak tersebut.
Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan ramai yang terkesan akibat wabak ini. Selain impak ketara ekonomi, ada perniagaan tidak dapat mengharungi cabaran dan terpaksa ditutup, rekod kadar pengangguran yang tinggi dan individu hilang pekerjaan.
Lebih menyayat hati, terdapat juga mereka yang terputus bekalan makanan. Keadaan ini walaupun tragis dan sedih, namun telah menyerlahkan lagi semangat perpaduan yang memang dipraktikkan secara berterusan selama ini seperti konsep Kita Jaga Kita.
Ini terbukti dengan kemunculan inisiatif seperti pengedaran bakul makanan dan juga gerobok rezeki. Ia menunjukkan yang semangat perpaduan dalam kalangan rakyat tidak sahaja diperkukuhkan malah patut diberi pujian.
Pemulihan ekonomi negara dijangka berlaku seiring pembukaan lebih banyak sektor ekonomi. Kejayaan tersebut juga bergantung kepada kerjasama dan penyatuan semua rakyat.
Semangat perpaduan yang ditunjukkan adalah sesuatu yang mulia dan perlu berlarutan walaupun pada fasa pasca pandemik dan dijadikan amalan cara hidup.
YEAP MING LIONG, Subang Jaya, Selangor