Reset ekonomi rakyat, negara - Utusan Malaysia

Reset ekonomi rakyat, negara

USAHA memulihkan ekonomi negara dan rakyat yang terejjas akibat Covid-19 perlu diutamakan daripada tergesa-gesa mengadakan PRU-15. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA mesti meletakkan harapan pada kerajaan hari ini agar terus mendapat sokongan daripada Yang di-Pertuan Agong supaya dapat menumpukan seluruh usaha dan tenaga kepada tujuh fokus yang amat penting.

Ia harus terbahagi kepada tindakan jangka pendek dan jangka panjang. Ini bakal menentukan apa yang akan berlaku dalam tempoh enam bulan akan datang.

Ia juga menentukan objektif Belanjawan 2022 dengan mengambil aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), termasuk kesinambungan reformasi ekonomi untuk RMK13 supaya selari dengan inti pati Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ia adalah:

1. Bantuan khas dan penyelamat Covid-19

Ini mesti merangkumi enam hingga 18 bulan subsidi gaji dan dana pusingan khas untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dengan pemindahan tunai lebih banyak untuk B40 ditambah dengan strategi pencukaian baharu.

2. Strategi FDI baharu

Terdapat terlalu banyak kebergantungan pada pelaburan langsung asing (FDI) berdasarkan eksport.

Kita perlu memastikan pelaburan asing tidak hanya mahukan tenaga kerja murah daripada bukan rakyat Malaysia manakala pelabur asing baharu perlu membuka peluang besar bagi PMKS, modal insan dan sumber lain.

Selain itu, mesti merangkumi pemindahan teknologi sebenar dan mencipta pekerjaan bermakna bagi rakyat.

Pada masa sama, kerajaan mesti menunda dan mengabaikan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan menumpukan perhatian pada perdagangan dua hala dengan semua ekonomi utama.

3. Strategi pencukaian

Mengapa tidak memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar peratus tertentu bermula 2022 sebelum menaikkannya pada 2023?

Mungkin boleh memperkenalkan Cukai Kekayaan & Cukai Warisan untuk mempromosikan pelaburan langsung domestik dan Cukai Keuntungan Modal pada kadar satu peratus tetapi kurangkan cukai korporat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk 2022.

Selain itu, cadangan meningkatkan kadar cukai pendapatan peribadi sebanyak lima peratus golongan T20 wajar dipertimbangkan.

Selain itu, kerajaan perlu membuat keputusan berkaitan kenaikan gaji minimum, pekerja asing, dasar kewangan sebelum cukai bagi bank komersial dan pendirian Bank Negara Malaysia yang masih enggan berfikir di luar buku teks ekonomi klasik, perkenalkan perbankan awam dan perbankan komuniti yang tidak berlandaskan riba serta polisi pembangunan bumiputera lebih baik.

Kami berharap kerajaan tidak mempersiakan peluang untuk melaksanakan reset terhadap beberapa keadaan ekonomi secara radikal untuk memberi manfaat kepada rakyat termasuk bumiputera.

Jika tidak, tiada yang dapat ditunjukkan dalam beberapa tahun akan datang. Ia hanya akan menjadikan orang kaya semakin kaya tetapi golongan lain tetap dalam keadaan sama atau lebih teruk.

AHMAD YAZID OTHMAN, Felow Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya