SAUDARA PENGARANG,
DAP yang menggelar dirinya sebagai parti berideologi sosial demokrasi menunjukkan keghairahan terhadap corak pembangunan ekonomi yang sama seperti lawan berideologi kapitalis.
Keghairahan tersebut lebih menyerlah dalam pendiriannya yang berpegang teguh pada prinsip pertumbuhan ekonomi, malah kerajaan negeri di bawah pentadbiran DAP berdegil untuk melaksanakan projek penambakan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang.
Sebahagian besar kepentingan yang dijana daripada pertumbuhan ekonomi jenis ini selalunya disalurkan ke dalam dompet kapitalis atau pemaju, sementara pencemaran dan bencana yang timbul daripada pembangunan diserahkan pula kepada masyarakat umum.
Oleh itu, nelayan yang berada di zon ‘pengorbanan’ dan pertubuhan masyarakat sivil tempatan menentang keras rancangan yang dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
Mereka bersatu untuk membantah dan sehingga 25 Jun lalu telah mendapat sokongan kira-kira 127,000 orang awam melalui petisyen dalam talian untuk menolak penambakan laut.
Selain kemusnahan ekologi, hampir 5,000 nelayan juga akan terjejas sehingga mengancam bekalan makanan di kawasan tersebut. Semua pasir yang diperlukan untuk memenuhi penambakan laut seluas lebih 2,000 padang bola sepak itu berasal dari Perak.
Oleh itu, selain membawa kesan terhadap bahagian selatan Pulau Pinang, aktiviti perlombongan pasir dipercayai akan menghakis kawasan pesisir pantai Tanjung Piandang, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau.
Projek penambakan gergasi sebegini mewujudkan pelepasan karbon yang besar dan akan menyebabkan kehancuran alam sekitar serta bekalan makanan. Ia juga boleh menyebabkan hakisan pantai yang teruk.
Projek PSR dikendalikan oleh pemaju swasta tetapi rancangan kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan pulangan daripada penjualan tanah pulau baharu itu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.
Dalam pada itu, kenapa kerajaan negeri Pulau Pinang ingin meneruskan projek penambakan untuk membina pulau buatan walaupun masih terdapat tanah yang sesuai di Seberang Perai?
Sebabnya sangat mudah. Peranan modal adalah menjana keuntungan sebesar mungkin. Keuntungan jauh lebih lumayan untuk pembinaan kompleks yang sama di sebelah pulau berbanding Seberang Perai.
Kerajaan-kerajaan yang mentadbir Pulau Pinang sama ada DAP atau Gerakan telah menumpukan terlalu banyak perhatian terhadap pembangunan di kawasan pulau.
Setelah bertahun-tahun pembangunan, pulau ini sudah penuh sesak dan penciptaan ruang baharu menjadi satu keperluan bagi memastikan nilai pelaburan dan aset terdahulu terus meningkat supaya mendorong pertumbuhan ekonomi di negeri itu.
Hubungan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai sama seperti zaman penjajahan Inggeris apabila Seberang Perai memainkan peranan sebagai gudang pembekalan makanan bagi keperluan penjajah di sebelah pulau.
Seberang Perai pada hari ini masih tidak dapat menarik diri keluar daripada hubungan tuan-hamba sebegini termasuk berperanan sebagai sumber tenaga kerja murah dan tempat untuk pembangunan industri sekunder bagi ekonomi Pulau Pinang.
Oleh sebab harga hartanah yang melambung tinggi di sebelah pulau, rata-rata pekerja tidak mampu membeli rumah di situ dan ramai berulang-alik antara Seberang Perai dan pulau untuk mencari nafkah setiap hari.
BRIAN KHOW, Kuala Lumpur.