SAUDARA PENGARANG,
PELBAGAI cabaran baharu wujud sehingga menuntut beberapa sektor utama beroperasi secara normal baharu sehingga saat ini.
Impak paling besar boleh dilihat di sektor pendidikan yang mana sistem pembelajaran konvensional berteraskan pusat, bilik darjah atau bilik kuliah beralih secara dalam talian.
Cabaran-cabaran belajar secara dalam talian seperti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi pelajar sekolah dan secara jarak jauh (ODL) bagi pelajar universiti dan kolej adalah realiti yang perlu dihadapi.
Apa yang sentiasa menjadi isu dan permasalahan dalam menjayakan proses pembelajaran ini ialah disebabkan peranti yang berkapasiti rendah dan kesukaran mengakses internet.
Mahasiswa turut terkesan kerana tidak dapat berjumpa seperti biasa apatah lagi untuk berinteraksi dengan pensyarah dan bertemu rakan sekuliah secara fizikal.
Saya difahamkan, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil pendekatan awal iaitu hanya separuh daripada jumlah mahasiswa dibenarkan mengikuti kelas pengajian di dalam kampus dan yang lain-lainnya masih diminta belajar secara dalam talian.
Oleh hal demikian, diharapkan agar ada solusi terbaik bagi menangani masalah sedia ada sementara menunggu keadaan pandemik Covid-19 kembali berada dalam keadaan terkawal.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang