Negara maju belum tentu sempurna - Utusan Malaysia

Negara maju belum tentu sempurna

DRAMA sembilan episod, Squid Game mendedahkan isu pengagihan kekayaan tidak sama rata di Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARANGKALI siri drama televisyen Korea Selatan yang paling popular di seluruh dunia termasuk Malaysia sekarang ialah Squid Game.

Drama ini menceritakan 456 orang yang menghadapi masalah kewangan dijemput oleh satu sindiket penuh misteri untuk menyertai permainan yang mempertaruhkan nyawa mereka.

Peserta yang mengambil bahagian secara sukarela dalam permainan ditawarkan hadiah wang tunai 45.6 bilion won (RM160 juta) untuk dimenangi jika boleh menamatkannya dengan selamat.

Mereka dikehendaki mengambil bahagian dalam permainan zaman kanak-kanak rakyat Korea Selatan.

Orang kalah akan terus dibunuh secara kejam, sementara individu menang layak untuk ke pusingan seterusnya.

Drama yang panas lagi ganas ini mungkin menghiburkan bagi penonton yang bosan dengan kehidupan harian di bawah bayangan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.

Tetapi ia juga menyampaikan dalam bentuk kreatif dan dramatik realiti dunia di bawah sistem kapitalis yang penuh kezaliman, keganasan dan dehumanization (penyahinsanian).

Di sebalik visual mempersonakan, adegan aksi mendebarkan, jalan cerita menarik dan persembahan dramatik untuk tragedi menyayat hati, drama ini cuba meneroka dan mengupas isu-isu sosial yang bukan sahaja menyentuh hati penonton di Korea Selatan tetapi juga mewujudkan gema dalam kalangan masyarakat global.

Drama ini mempersembahkan ilustrasi realiti kehidupan ramai orang pada hari ini.

Kesusahan hidup dalam sistem kapitalis, perampasan sifat kemanusiaan daripada manusia di bawah suasana persaingan ekonomi dan percanggahan kelas masyarakat yang membiak pelbagai masalah lain.

Pemilik modal yang kaya-raya menjadi lebih kaya walaupun dunia mengalami krisis pandemik yang teruk.

Golongan pekerja dan rakyat bawahan yang menyumbangkan tenaga ­ fizikal dan minda mereka untuk menggerakkan ekonomi terus hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Malah pekerja terbabit dijadikan bahan hiburan untuk kelas atasan yang melaga-lagakan mereka supaya bersaing sesama sendiri.

Korea Selatan dengan jumlah penduduk lebih 50 juta orang adalah salah sebuah kuasa ekonomi yang paling maju di benua Asia.

Negara itu menduduki tangga ke-10 di dunia dari segi saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa kini dan menyertai kelab negara-negara kapitalis kaya, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sejak 1996.

Pembangunan ekonomi pesat dalam tempoh lebih empat dekad lalu di Korea Selatan telah membawa pelbagai kemajuan kepada masyarakat negara itu.

Bagaimanapun, wujud masalah yang berpunca daripada sifat sistem kapitalis itu sendiri, iaitu pengagihan kekayaan tidak sama rata dan eksploitasi terhadap pekerja bawahan. Konflik kelas di negara itu juga sangat ketara.

Berbalik kepada drama Squid Game, adalah membuang masa sahaja sekiranya mesej yang mendedahkan permasalahan sistem kapitalis dan usaha mengembalikan kemanusiaan itu tidak difahami penonton.

Adalah tidak mencukupi jika kita hanya mampu menghayati mesej bermakna dalam sesebuah karya seni. Yang penting adalah mengubah keadaan dan nasib masyarakat secara bersama.

CHOO CHON KAI, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya