Mana pengurus Seri Perdana? - Utusan Malaysia

Mana pengurus Seri Perdana?

SERI Perdana adalah lambang kemegahan institusi Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan. – UTUSANFAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KOMPLEKS Seri Perdana yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri sejak 1999 kini dibaik pulih berikutan kerosakan fizikal dan usang. Menurut laporan, kelulusan kerja-kerja membaik pulih ini dibuat sejak pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Antara laporan kerosakan yang diterima sewaktu itu melibatkan kebocoran, kerosakan bumbung, lantai dan perabot serta elektrikal dan mekanikal. Malah, laporan turut menyatakan berlaku kerosakan yang signifikan di kawasan luar kompleks tersebut.

Pembaikan dan pemulihan ini adalah satu inisiatif yang perlu disambut baik kerana Seri Perdana merupakan lambang kemegahan institusi Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan selain boleh mendatangkan risiko keselamatan dan kesihatan.

Namun begitu, sejauh mana kualiti keberkesanan pengurusan kemudahan dan penyelenggaraan sepanjang 22 tahun ini sehingga menyebabkan kerosakan yang teruk ke atas bangunan dan memerlukan belanja RM38 juta untuk dibaik pulih?

Dalam konteks pengurusan kemudahan, fasa penghunian merupakan yang paling lama dalam kitaran hayat sesebuah bangunan dan perlu diberi perhatian sepanjang tempoh itu. Penyelenggaraan, pembaikan, penggantian dan penilaian prestasi bangunan secara berkala adalah sangat penting bagi memastikan bangunan berkenaan beroperasi dengan baik di samping membantu menjimatkan kos.

Dalam hal ini, pengurus kemudahan dan bahagian penyelenggaraan memainkan peranan sangat penting untuk meneliti strategi penyelenggaraan yang sesuai mengikut keperluan bangunan dan kemudahan di dalamnya.

Pendekatan membaik pulih setelah rosak bukanlah satu langkah bijak kerana akhirnya kos itu menjadi sangat tinggi seperti peningkatan alat gantian dan kos buruh. Tambahan pula, penggantian yang dibuat perlu selari dengan keperluan teknologi masa kini.

Pihak pengurusan yang ditugaskan untuk menjaga bangunan kediaman perlu bijak dalam merancang strategi penyelenggaraan dan disarankan membuat penilaian prestasi bangunan secara berkala. Perkara ini penting kerana penyelenggaraan yang baik boleh memanjangkan kitaran hayat sesebuah bangunan sehingga 50 tahun atau lebih.

Apapun yang berlaku, keterbukaan kerajaan menyatakan perkara sebenar perlu dipuji. Sekarang bukanlah masa sesuai untuk menyalahkan mana-mana pihak. Kerajaan perlu mengambil iktibar dan bersedia menambahbaik sistem pengurusan kemudahan dan penyelenggaraan bangunan, bukan sahaja di Seri Perdana, bahkan di semua bangunan milik kerajaan.

DR. NURUL NADIAH ZAINOL & DR. MUHAMMAD AZWAN SULAIMAN
Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, UiTM Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya