SAUDARA PENGARANG,
PADA 15 April lalu, saya menulis dalam ruangan ini dengan tajuk Elak Seksyen 8 jadi ‘perkuburan’ kereta.
Tulisan itu meminta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertindak segera menyelesaikan masalah kenderaan yang berada dalam kategori total loss (kereta lupus) tersadai di tempat letak kereta berbayar di hadapan Gerai Makan Seksyen 8.
Keadaan itu menyebabkan masalah kekurangan petak kereta kosong yang sedia ada kronik menjadi semakin teruk dan sampai ke tahap ‘nazak.’
Setelah aduan itu dibuat, saya mendapati MBPJ telah bertindak pantas menarik keluar semua kereta buruk terbabit. Terima kasih dan syabas saya ucapkan.
Cuma satu lagi aduan yang saya bangkitkan, iaitu terdapat terlalu banyak lopak agak dalam yang menunjukkan tempat letak kereta berbayar itu sudah lama tidak diturap belum ada apa-apa tindakan.
Sudahlah terpaksa berebut petak letak kereta pada awal pagi, pemandu pula perlu menggunakan segala kemahiran yang ada untuk mengelak lubang seolah-olah memandu di laluan balak.
Saya berharap ahli Majlis MBPJ yang bertanggungjawab di Seksyen 8, A. Sugumaran dapat turun padang untuk melihat sendiri keadaan di situ.
Dalam pada itu, diharapkan MBPJ dapat menambah lebih banyak petak kereta awam di tepi jalan di sekitar Hotel Hilton Petaling Jaya dan Wisma MCIS yang terletak berhampiran pusat bandar baharu, PJ Sentral.
Ini berikutan beberapa bangunan dalam fasa pertama pembinaan di situ telah mula diduduki.
Saya mendapati wujud pertambahan jumlah kenderaan yang ketara.
Jika amalan bekerja secara hibrid sekarang dihentikan, sudah pasti masalah kekurangan petak kereta akan menjadi semakin teruk.
Dengan menambah petak kereta awam, ia akan meningkatkan pendapatan MBPJ.
AZMIN SAMAD, Petaling Jaya.