Lebih baik polis tumpu jenayah - Utusan Malaysia

Lebih baik polis tumpu jenayah

MAJORITI warga emas tinggal bersendirian menyebabkan mereka terpaksa memandu bagi membeli dan menguruskan keperluan asas.-GAMBAR HIASAN/IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CADANGAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengehadkan lesen memandu kepada golongan warga emas berusia 70 tahun ke atas saya anggap tidak masuk akal. Malah cadangan untuk mengemukakan surat pengesahan kesihatan semasa memperbaharui lesen juga mengarut.

Mereka ini sedang ‘bercakap’ tentang warga emas dan sepatutnya sedar  prosedur baharu yang dicadangkan itu menyukarkan golongan tersebut untuk berbuat demikian atas pelbagai faktor.

Semasa di bawah pentadbiran lapan Perdana Menteri sebelum ini tidak pernah pula isu sebegini berbangkit. Mengapa sekarang? Sedangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada usia 96 tahun masih lagi memandu kenderaan.

Saya sendiri merupakan warga emas berusia 77 tahun dan tinggal bersendirian. Anak-anak pula bekerja jauh dan tidak pulang sejak setahun lalu selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Bayangkan, tanpa memandu sendiri, bagaimana saya mahu ke kedai membeli barangan asas dan menguruskan banyak perkara berkaitan pencen, pembayaran bil dan sebagainya? Dengan siapa saya mahu minta tolong jika bukan pada diri sendiri? 

Jika soal kemalangan jalan raya adalah alasan utama PDRM mengesyorkan perkara tersebut, maka saya minta mereka semak semula laporan kemalangan jalan raya sebelum ini. Banyak laporan berita menyatakan kadar kemalangan terbesar disumbangkan oleh anak muda dengan purata 9 per 10.

Dalam banyak perkara, mengapa PDRM perlu risau dengan keperluan warga emas untuk memandu sedangkan banyak lagi kes jenayah, kemalangan, rasuah dan salah laku anggota perlu diberi perhatian serius? Selalunya warga emas hanya memandu pada jarak berdekatan untuk menyelesaikan beberapa perkara dan bukannya memandu jauh, apatah lagi untuk terlibat dengan lumba haram.

Adalah lebih baik PDRM memberi fokus kepada masalah jenayah, kemalangan yang meragut banyak nyawa daripada mengalih perhatian rakyat kepada isu-isu remeh seperti ini.

Diharap Kementerian Pengangkutan tidak mudah ‘termakan’ dengan cadangan tersebut sebaliknya mengkaji perkara ini dengan baik sebelum menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

KHATIJAH SAAD, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya