Kenapa ghairah buat dosa besar? - Utusan Malaysia

Kenapa ghairah buat dosa besar?

SELIDIK kesahihan terlebih dahulu sebelum menyebarkan tulisan, imej atau video melalui media sosial. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menasihati masyarakat agar berhenti menyebar aib mana-mana individu kerana ia boleh menjadi fitnah jika tidak benar.

Fitnah adalah suatu tuduhan, khabar, kisah dan seumpamanya yang direka-reka untuk menjejaskan imej, maruah dan kredibiliti individu tertentu. Islam menegaskan perbuatan menabur ­fitnah adalah keji, tercela dan terkutuk.

Fitnah termasuk dalam kategori dosa besar yang tidak mendapat pengampunan Allah SWT selagi tidak diselesaikan sesama manusia.

Masyarakat Islam perlu menjauhi daripada terlibat perbuatan ­fitnah dengan cara meneliti atau menyiasat setiap berita yang diterima terlebih dahulu dan tidak menjadi wakil menyebarkan berita-berita palsu.

Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulumuddin bahawa penyebaran ­ fitnah boleh berlaku dengan pelbagai cara melalui percakapan, isyarat (perbuatan) atau tulisan yang membawa hukum haram.

Mutakhir, disebar pelbagai penulisan, imej dan video melalui media sosial tanpa pihak terbabit menyelidiki terlebih dahulu kesahihannya.

Cukup merisaukan adalah kesan negatif akibat daripada perbuatan ­fitnah yang dilakukan.

Pertama, ­ fitnah akan mengakibatkan imej dan maruah individu tercemar di sisi pandang masyarakat dan menjadi bahan kritikan, cemuhan serta sindiran tanpa penghujung.

Kedua, ­ fitnah yang disebarkan boleh mencetuskan pergaduhan, pertengkaran, perbalahan, perasaan tidak puas hati dan perpecahan dalam masyarakat.

Ketiga, ­fitnah akan memberi kesan negatif dari pelbagai sudut sama ada ­fizikal, psikologi, harta benda dan keluarga.

Masyarakat disibukkan dengan melayan berita-berita ­fitnah tidak berasas sehingga urusan membangunkan negara dan agama terabai.

Kesimpulannya, umat Islam bertanggungjawab untuk membasmi dan membanteras segala bentuk ­fitnah yang membawa perpecahan dan kerosakan kepada masyarakat.

DR. AZRI BHARI, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya