SAUDARA PENGARANG,
PENGGORENG udara atau air fryer adalah peralatan dapur yang banyak dipromosikan sekarang sebagai baik untuk kesihatan kerana tidak banyak menggunakan minyak.
Makanan dimasak dengan cara mengalirkan udara panas pada kelajuan tinggi menggunakan kipas mekanikal.
Aliran udara panas menghasilkan lapisan rangup pada makanan melalui tindak balas Maillard yang turut menyebabkan makanan berwarna coklat dan mempunyai rasa tersendiri.
Dikatakan penggoreng udara dapat menjimatkan minyak antara 70 hingga 80 peratus.
Kebanyakan peralatan itu direka dengan tombol yang boleh menyelaraskan masa dan suhu sesuai untuk pemasakan lebih terperinci.
Makanan yang ingin digoreng diletakkan dalam bakul di atas dulang tadahan.
Bakul serta isinya digoncang agar minyak diagihkan dengan sekata sama ada secara automatik ketika penggorengan mahupun secara manual.
Bagaimanapun, yang tidak didedahkan oleh syarikat pengeluar adalah memasak menggunakan penggoreng udara akan menghasilkan bahan kimia berbahaya dinamakan acrylamide (akrilamid) yang boleh menyebabkan kanser.
Pada Februari lalu, Majlis Pengguna Hong Kong mendedahkan hasil ujian mereka dengan memasak kentang goreng menggunakan 12 jenama penggoreng udara.
Didapati enam daripadanya menghasilkan paras akrilamid sangat tinggi melebihi tahap dibenarkan Kesatuan Eropah (EU).
Ujian itu juga mendapati tiga jenama termasuk yang banyak dijual di Malaysia mempunyai sistem pendawaian tidak selamat yang boleh menyebabkan litar pintas atau kebocoran tenaga elektrik.
Akrilamid yang ditemui ahli sains pada 2002 adalah bahan kimia yang terhasil daripada makanan berkanji yang dimasak, digoreng dan dibakar pada suhu tinggi kira-kira 120 darjah Celsius.
Semakin lama makanan dimasak, semakin tinggi kandungan akrilamid dalam makanan tersebut.
Institut Kanser Kebangsaan (NCI) Amerika Syarikat (AS) mengklasifikasikan akrilamid sebagai bahan berpotensi penyebab kanser.
Akrilamid juga ialah neurotoksin sangat kuat yang mempunyai kesan buruk terhadap otak dan boleh menyebabkan mandul.
Tanda-tanda seseorang itu terdedah terlalu banyak bahan kimia berkenaan adalah lemah otot, kebas pada tangan dan kaki, berpeluh dan tubuh berasa tidak stabil.
Dari segi penampilan dan rasa, akrilamid adalah pepejal berwarna putih, tidak berbau dan berbentuk kristal.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, bahan kimia itu bertindak balas dengan ganas ketika mencair dan dipanaskan serta mengeluarkan asap berbahaya kepada manusia dan haiwan.
Di dalam badan manusia, akrilamid akan bertukar menjadi glycidamide (racun genetik) yang menyebabkan mutasi dan kerosakan kepada asid deoksiribonukleik (DNA).
Sumber akrilamid paling utama dalam makanan harian ialah kentang goreng, kerepek pisang, nasi goreng, mi goreng, roti bakar dan kentang bakar.
Kajian menunjukkan mengurangkan masa memasak tidak menjadikan makanan terlalu garing dan tidak menyimpan kentang di dalam peti sejuk mengurangkan kandungan akrilamid.
Bahan kimia itu juga terkumpul dalam biji kopi semasa proses memanggang di kilang tetapi kuantitinya sangat kecil berbanding makanan yang dimasak menggunakan penggoreng udara.
Saya berpendapat mengharamkan penggoreng udara adalah langkah terbaik kerana syarikat pengeluar telah mengelirukan orang ramai apabila tidak mencatatkan sebarang amaran dalam buku panduan yang disediakan bersama-sama peralatan dijual.
SHARIFAH, Kuala Lumpur.