Jangan sekadar berpeluk tubuh - Utusan Malaysia

Jangan sekadar berpeluk tubuh

RAKYAT perlu bekerjasama seiring kerajaan untuk terus patuh prosedur operasi standard (SOP) dalam fasa endemik. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH melepasi fasa kedua ‘perlumbaan 100 hari’ untuk pencapaian barisan Kabinet yang baharu. Bagi mereka yang menggunakan kewarasan akal fikiran dan ketajaman minda, sudah tentu dapat melihat bagaimana menteri-menteri bertungkus lumus menyelesaikan apa jua permasalahan rakyat.

Semua tahu dan faham, betapa kehidupan dalam pandemik amat menyulitkan. Bukan sahaja ramai yang terpaksa turun dari T20 ke M40, malah ada juga segelintir terpaksa menerima hakikat mereka kini miskin tegar.

Lebih buruk lagi, ada juga dalam kalangan kita sanggup mengambil jalan pintas dengan membunuh diri atas alasan desakan hidup yang kian meruncing. Kesian. Inilah situasi dihadapi rakyat terutama pada 2020 dan awal tahun ini.

Oleh sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan kerangka asas yang tinggi terhadap barisan Kabinet agar mereka memberi manfaat kepada rakyat yang terkesan.

Sebanyak 31 menteri dan 39 timbalan menteri yang menjadi tonggak utama kerajaan Keluarga Malaysia dipilih khusus untuk bekerja bersama rakyat siang dan malam. Sebesar mana harapan rakyat terhadap perubahan fasa hidup pasca Covid-19, maka sebesar itulah juga impian Perdana Menteri dalam memastikan barisan Kabinet berfungsi dengan sehabis baik.

Ini merupakan cerminan betapa Ismail Sabri serius dalam menggerakkan kerajaan semasa menjadi lebih baik berbanding kerajaan-kerajaan terdahulu dalam soal membawa negara ke arah endemik.

Yang penting adalah bagaimana kita boleh terlibat sama dalam perjuangan jihad menyelamatkan negara daripada terus dicengkam oleh virus maut yang tidak dapat dilihat.

Kita wajar menjadi rakyat yang peka dan bertanggungjawab, bukan sahaja terhadap diri sendiri malah kepada tanah air tercinta ini secara collective responsibility.

Takkanlah kita sekadar berpeluk tubuh berdiam diri dan hanya menjadi penonton kepada pihak lain yang bertungkus lumus berusaha ke arah endemik? Jika begitu, adakah kita tergolong daripada ahli Keluarga Malaysia?

Adakah kita hanya mahu memberi kerjasama terhadap perkara-perkara yang memberi manfaat kepada diri sendiri? Di mana sifat ikatan keluarga kita jika sekadar mementingkan diri?

Justeru, kita perlu menjadi ejen kepada diri sendiri, keluarga, komuniti setempat dan negara secara keseluruhannya dalam memperjuangkan jihad melawan pandemik ini sehingga tamat.

Antara cara mudah yang boleh disumbangkan adalah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, kita juga boleh mengawal diri untuk tidak kongsikan perkara tidak sahih dan bersifat palsu di media sosial sebagai salah satu sumbangan kecil. 

Bagi masyarakat Cina, ikatan kekeluargaan yang erat digambarkan dalam peribahasa mereka, dàng máfan láilín, jirén huì giyú nzhchí yang membawa maksud ketika berada dalam kesukaran, keluarga anda akan datang menolong.

Tiada siapa yang boleh diharapkan lagi jika berada dalam situasi sukar atau mencemaskan kecuali ahli-ahli keluarga sendiri.

Inilah pentingnya ikatan kekeluargaan yang mendorong ilham Ismail Sabri untuk memperkenalkan Keluarga Malaysia pada hujung Ogos lalu. Tambahan pula, konsep tersebut mudah dihadam tanpa memerlukan penelitian kompleks.

Perdana Menteri sendiri pernah menyebut pendekatan Keluarga Malaysia ini harus bersifat inklusif merentasi fahaman politik, kaum dan agama. Ia harus mendakap erat prinsip kebersamaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara kekal terjamin.

Justeru, ayuhlah kita saling bantu membantu sesama sendiri untuk memastikan pokok Keluarga Malaysia ini mekar subur sehingga berjaya memberi manfaat kepada semua.

SARFARIZMAL MD. SAAD, Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (Abata).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya