SAUDARA PENGARANG,
FASA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19 yang menjadi tsunami perubahan minda terhadap kelangsungan hidup benar-benar merubah cara pemikiran dan tindakan bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi rakyat secara total.
Sehingga kini pastinya ramai ketua keluarga yang terjejas dengan kehilangan pekerjaan dan bertukar kepada pekerjaan lain. Orientasi pekerjaan dan minat terpaksa dibuat secara drastik.
Perubahan ini memberi gambaran bahawa sumber manusia memerlukan kemahiran yang pelbagai untuk memenuhi pasaran kerja dan permintaan industri.
Situasi ini boleh dijadikan asas kukuh untuk membentuk warga yang berkemahiran dengan keterampilan melalui kelayakan diiktiraf. Ini dapat direalisasikan dalam dunia pendidikan seawal usia di sekolah rendah dan menengah.
Para ibu bapa dan pelajar perlu diberikan kesedaran bahawa lorong kejayaan memerlukan kombinasi akademik dan kemahiran atau kedua-duanya sekali. Namun, kita sedar bahawa setiap murid mempunyai kepelbagaian potensi dan bakat yang perlu dikembangkan.
Pelbagai pakej kecemerlangan boleh diambil di sekolah mengikut tahap minat dan kebolehan. Guru dan ibu bapa perlu bekerjasama untuk membawa hala tuju kerjaya pelajar.
Dunia sedang berada dalam fasa Revolusi Industri (IR) 4.0. Kita juga merasai tempiasnya dalam teknologi komunikasi. Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan pentas terbaik untuk memberikan pendedahan awal dan bergerak serentak dengan permintaan industri.
Tiada istilah keciciran jika anak-anak menceburi bidang teknik dan vokasional kerana mereka sedang berada di gerbang kejayaan yang diiktiraf di seluruh dunia. Pelbagai bentuk jurusan kemahiran ditawarkan dalam pendidikan teknik dan vokasional.
Secara tidak langsung, ia juga menyokong kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang berorientasikan kemahiran berfikir aras tinggi. Kita hendaklah memberikan hak sewajarnya kepada anak-anak mengikut bakat dan potensi diminati.
Negara-negara maju yang mendominasi IR 4.0 telah mencapai lebih 50 peratus pelajar dalam aliran teknik vokasional. Satu anjakan besar perlu dicetuskan oleh para pemikir dan pemimpin pendidikan masa hadapan untuk berada di pentas yang sama.
TUMIN YATMAN, Pengetua Cemerlang SMK Seri Machap