Jangan ketepi sejarah demi untung - Utusan Malaysia

Jangan ketepi sejarah demi untung

SEORANG lelaski sanggup berdiri di atas motosikal untuk merakam gambar Istana Raja Muda Perak dari luar pagar di Teluk Intan, Perak.-UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA  ingin memberi pandangan tentang tinggalan sejarah seperti bangunan lama yang hendak dirobohkan seperti Istana Raja Muda Perak yang terletak di Teluk Intan, Perak.  Raja Puan Besar Perak menuntut supaya istana itu dikekalkan dan dijaga.

Bagi saya, bangunan bersejarah yang berusia sekurang-kurangnya 100 tahun perlu diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai warisan sejarah dan tidak boleh dikomersialkan. Kerajaan negeri seharusnya memainkan peranan dalam memulihara bangunan bersejarah  kerana ia dapat  menarik pelancong sama ada dari dalam atau luar negara. 

Contohnya, Cameron Highlands dan Bukit Fraser bukan sahaja terkenal kerana suhu dingin tetapi bangunan tinggalan kolonial yang masih utuh dan menjadi pula tempat penginapan pelancong. 

Di Perancis, kerajaannya mengekalkan bangunan lama seawal abad ke-16 dan tiada bangunan pencakar langit di ibu kotanya. Hasilnya, bangunan lama peninggalan sejarah dijaga dan dipelihara dengan rapi dan menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah menjadikan hasil tinggalan sejarah sebagai punca pendapatan dan bukannya membina bangunan baharu untuk menarik pelancong.  Namun, ia perlu dimajukan dan dibaik pulih terlebih dahulu. Kita tidak mahu tinggalan sejarah di negara ini hanya dapat dibaca di halaman buku sejarah walhal buktinya ada tetapi  tidak diketengahkan.

Ke mana perginya persatuan sejarawan tempatan dalam memperjuangkan tinggalan sejarah untuk dibangunkan sebagai bangunan warisan? PBT hendaknya tidak rakus dan bertindak melulu sehingga tidak menyedari nilai tinggalan sejarah sementara kerajaan negeri perlu  membuat  kajian dan penyelidikan tentang aspek sejarah sebelum sesuatu bangunan lama atau kesan peninggalan sejarah itu hendak dimajukan. 

Tidakkah kita sedar sesuatu bangunan  sejarah  peradaban atau tamadun mengambil  masa lama untuk dibangunkan dan mempunyai kisah sejarah di sebaliknya? 

Taj Mahal misalnya, salah satu tujuh keajaiban dunia mengambil masa berbelas tahun untuk disiapkan dan memerlukan berpuluh ribu pekerja  membinanya. Kini ia menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia untuk melihat  kecantikan seni bina Moghul dan Arab. 

Oleh itu, mengetepikan sejarah seolah-olah mementingkan keuntungan semata- mata.

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya