Jangan bebankan Tabung Haji - Utusan Malaysia

Jangan bebankan Tabung Haji

Kos haji meningkat susulan pandemik Covid-19 yang memerlukan SOP baharu ketika mengerjakan ibadah itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAIK sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran  ke luar negara, masyarakat Islam sudah mula merancang untuk menunaikan umrah dan haji setelah hasrat itu tertangguh akibat Covid-19 sejak 2020.

Baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengumumkan harga minimum pakej umrah RM6,900 berbanding RM4,900 sebelum ini dan ia merupakan peningkatan hampir 40 peratus secara kasar.

Walaupun kos pakej umrah makin tinggi disebabkan pelbagai caj yang dikenakan akibat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sedangkan tempohnya pendek, tetapi ramai yang tidak kisah untuk membayar kerana rasa rindu kepada Baitullah lebih tebal.  

Kesanggupan membayar lebih itu seharusnya berlaku pada musim haji nanti. Kos haji tahun hadapan juga pasti akan meningkat disebabkan faktor sama. Jika sebelum ini kos minimum adalah RM20,000, tidak mustahil ia akan naik hingga RM30,000. Bakal haji harus bersedia untuk membayar lebih jika terpilih.

Sudah tiba masanya Tabung Haji tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi kerana perkhidmatannya masih perlu dikekalkan, ditambah pula dengan SOP, cukai dan lain-lain caj yang dikenakan di Tanah Suci. Umat Islam perlu membantu institusi ini daripada bebanan subsidi haji jika mahu institusi ini kekal menjadi kebanggaan negara.

Kita semua tahu ekonomi dunia amat terkesan akibat wabak Covid-19 dan Malaysia juga tidak terkecuali. Tabung Haji juga turut terkesan dan subsidi haji yang tinggi sedikit sebanyak menggugat kedudukan kewangan organisasi itu bagi jangka masa panjang.

Saya berpandangan bakal haji perlu bersedia untuk membayar lebih memandangkan hukum menunaikan haji hanya untuk mereka  yang mampu dan jika tidak mampu, syarat wajib itu terhapus.

Kalau dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain, bayaran haji Malaysia adalah yang terendah. Kita harus memandandang ke depan kerana jika terus terbeban, ada kemungkinan Tabung Haji  tidak lagi mampu untuk bertahan dan kita akan kehilangan satu-satunya institusi Islam yang menjaga kebajikan haji rakyat negara ini. Kita pasti tidak mahu itu berlaku. 

Persoalan saya, adakah subsidi haji mengikut syarat syariah yang telah ditetapkan oleh Islam dan adakah Tabung Haji perlu terus memberi subsidi haji yang tinggi? Semua ini penting dan perlu diperhalusi bagi kelestarian institusi ini kerana kita mahu ia terus kekal menjaga kebajikan jemaah haji negara selagi ada musim haji.

ABU SUFFIAN ABU HASSAN, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya