Jadilah pendakwah di tempat kerja - Utusan Malaysia

Jadilah pendakwah di tempat kerja

JANGAN sempitkan erti dakwah kepada sekadar berceramah di masjid. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERDAKWAH boleh difahami sebagai usaha mengajak orang lain mendekati Allah SWT, menyeru mereka ke arah kebenaran, seterusnya dapat mengikut apa yang digariskan dalam ajaran Islam termasuk mengerjakan amalan baik dan menjauhi perbuatan jahat.

Dalam dunia pekerjaan, seorang Muslim bertanggungjawab untuk berdakwah. Usaha berdakwah di tempat kerja jangan disalahertikan dengan pengertian yang sempit.

Dakwah bukan bermaksud mengajak manusia melupakan tanggungjawab bekerja dan melaksanakan amal ibadat khusus semata-mata.

Bekerja itu sendiri adalah satu amal ibadat, apa lagi jika ia diniatkan kerana Allah SWT dan dilaksanakan dengan penuh amanah, fokus serta ikhlas.

Sebagai pendakwah dalam konteks dunia pekerjaan, seseorang perlu terlebih dulu memperlengkapkan dirinya supaya usaha dakwah menjadi sempurna.

Tidaklah nanti orang lain mengatakan, hendak betulkan orang lain, diri sendiri pun tunggang-langgang.

Akhlak dan keperibadian diri yang baik perlu dibentuk dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh.

Pendakwah juga perlu memiliki kekuatan intelektual dan spiritual supaya dirinya sendiri arif akan apa yang hendak disampaikan dan orang yang menerima dakwah turut faham dan mudah untuk mengikuti dakwahnya.

Jika pendakwah tidak mampu memahami dan menguasai ilmu mengenai ajaran Islam, ditakuti usaha dakwahnya akan menjadi sia-sia dan diperlekehkan orang yang cuba didekati itu.

Bahkan, lebih ditakuti apabila yang cuba disampaikan itu tidak selaras dengan perspektif Islam dan boleh memesongkan fahaman orang lain terhadap kesyumulan ajaran Islam.

Berdakwah di tempat kerja bukan sesuatu yang sukar kerana banyak kaedah dakwah boleh diguna pakai seperti penulisan, perbualan mahupun perbuatan untuk menarik minat dan kesedaran orang lain agar terus berpegang teguh kepada syariat Islam.

Contohnya, ringankan mulut menegur rakan yang suka mencuri tulang untuk minum pagi dengan cara mengingatkan mereka tentang pentingnya bersikap amanah kepada majikan, juga diri sendiri.

Ataupun memberi teguran terhadap amalan bergosip, mengumpat dan mengata orang lain yang memang menjadi hobi ketika bekerja dalam kalangan sesetengah daripada kita.

Namun, harus diingat, segala peringatan dan teguran perlulah dibuat dengan tegas tetapi lembut, merendah suara dan berhikmah. Bukan secara kasar, mengherdik atau menghina.

Dakwah melalui perbuatan juga sangat berkesan dalam mengajak orang lain beramal ibadah dengan sempurna.

Menjaga amal ibadat khusus, tidak lokek memberi senyuman, membaca al-Quran ketika ada kelapangan, ringan tulang membantu orang lain, sopan santun, menjaga kebersihan diri dan sebagainya adalah contoh perbuatan yang boleh menggetarkan kesedaran orang lain untuk mengikut amalan baik yang kita tunjukkan.

Dakwah juga boleh disampaikan dengan kaedah penulisan melalui penghantaran e-mel atau salinan nota yang mengandungi maklumat berkaitan ajaran Islam seperti tauhid, ibadah, adab, muamalat untuk terus tawaduk dan patuh dengan perintah Allah SWT.

Sebagai ketua jabatan atau pengurus organisasi, mereka boleh memekarkan usaha dakwah dengan mewujudkan amalan membaca al-Quran dan memahami tafsirnya bersama pekerja.

Begitu juga sebelum memulakan sesuatu mesyuarat atau perbincangan kumpulan, tazkirah ringkas boleh disampaikan mengenai ilmu berkaitan Islam mahupun isu-isu semasa mendasari kehidupan seharian.

DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya