Henti laung bapuk, kunyit - Utusan Malaysia

Henti laung bapuk, kunyit

RAMAI golongan LGBT yang telah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak diiktiraf di kebanyakan negara termasuk Malaysia, ini tidak bermakna mereka boleh dimalukan dan diganggu secara seksual oleh orang sekeliling.

Sebarang bentuk ejekan berbentuk seksual terhadap golongan LGBT perlu dijadikan sebagai kesalahan dan tindakan undang-undang harus diambil di bawah mana-mana peruntukan.

Ejekan seperti pondan, bapuk, kunyit, lembik, mat kepit, sotong dan sebagainya yang selalu digunakan terhadap golongan berkenaan juga perlu dibendung sepenuhnya.

Ini kerana ejekan itu bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah mangsa yang terlibat malah boleh menyebabkan golongan LGBT dan keluarga mereka menghadapi tekanan mental dan emosi.

Perlu diketahui, mangsa gangguan seksual bukan hanya terdiri dalam kalangan wanita malah turut melibatkan lelaki dan LGBT.

Gangguan seksual selalu berlaku terhadap golongan LGBT kerana kebanyakan negara tidak menerima kewujudannya dan pelbagai tanggapan negatif sering dilemparkan kepada mereka.

Oleh yang demikian, penting rang undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual yang sedang diusahakan pada masa sekarang oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi perlindungan kepada semua golongan termasuk LGBT.

Gangguan seksual adalah sebarang bentuk perkataan atau tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini sama ada secara lisan, bukan lisan, tulisan, visual, psikologi atau ­fizikal terhadap mangsa.

Perlakuan ini boleh berlaku sekali sahaja atau berulang kali. Gangguan seksual juga boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Ia juga boleh terjadi di mana-mana sama ada di tempat kerja, pengangkutan awam, tempat riadah dan lain-lain.

Kemunculan teknologi baharu dan internet pada masa kini juga boleh menjadi tempat untuk berlakunya gangguan seksual.

Perlu diketahui, pada masa sekarang tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual yang berlaku dalam negara kita.

Mangsa gangguan seksual perlu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki kelemahan tersendiri seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dan Kanun Keseksaan.

Mangsa juga boleh mengambil tindakan saman sivil terhadap pelaku.

Antara kelemahan yang terdapat dalam peruntukan undang-undang sedia ada termasuk adalah dari aspek syarat beban pembuktian yang tinggi sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kesukaran bagi membuktikan dakwaan kes gangguan seksual yang berlaku terhadap dirinya.

Prosedur sedia ada di dalam peruntukan undang-undang yang wujud sekarang juga tidak sesuai untuk mengendalikan kes gangguan seksual yang sensitif serta kompleks ini.

Oleh yang demikian, penting supaya peruntukan undang-undang khusus diwujudkan dalam negara kita bagi mengatasi masalah gangguan seksual ini dengan lebih berkesan.

Apa yang paling penting adalah mangsa gangguan seksual kelak tidak berasakan diri mereka tiada harapan untuk membawa kes serta mendakwa pelaku ke muka pengadilan.

Selain penambahbaikan undang-undang sedia ada, usaha pendidikan yang berterusan juga harus dilaksanakan kepada semua lapisan masyarakat supaya mereka menolak perlakuan gangguan seksual ini.

Sudah sampai masanya masyarakat kita dididik supaya lebih menghormati orang lain tanpa mengira status jantina mereka serta tidak melakukan sebarang jenis gangguan yang boleh menjejaskan kehidupan orang lain.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya