SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Kementerian Pengangkutan untuk menarik balik atau mengehadkan Lesen Memandu Malaysia (LLM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi warga emas yang terbukti tiada keupayaan memandu perlu dilihat dari pelbagai aspek.
Bahkan cadangan ini perlu disokong bukti kukuh memandangkan kemalangan banyak disumbangkan oleh faktor lain seperti keadaan jalan, kenderaan dan usia pemandu yang masih muda.
Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, menilai seorang pemandu hanya bersandarkan faktor umur atau merujuk kepada kes-kes terpencil semata-mata hanya akan menimbulkan diskriminasi terhadap golongan tersebut.
Jika terbukti banyak kemalangan disebabkan faktor umur yang lanjut, maka wajar lesen memandu ditarik balik.
Bagaimanapun, saya berpendapat mengehadkan lesen pemandu warga emas adalah tidak adil kerana banyak sudut perlu diambil kira.
Ini termasuk keperluan mobiliti dan faktor sosioekonomi seperti di kawasan pedalaman dan kenderaan sebagai punca pendapatan.
Jika warga emas masih boleh mengendalikan kenderaan dan memiliki tahap kesihatan baik, memang wajar mereka memiliki lesen memandu.
Untuk lebih adil, saya sarankan Kementerian Pengangkutan menetapkan had umur munasabah untuk memiliki lesen memandu atau memperbaharui lesen bagi warga emas dan perlu melalui penilaian tahap kesihatan seperti penglihatan dan pendengaran.
Kebanyakan warga emas menghadapi masalah penglihatan, pendengaran dan sukar untuk mengawal kenderaan.
Pada usia sebegini, kita tidak mahu orang tua kita mati katak di jalan raya apabila terlibat kemalangan.
Peranan keluarga juga penting dalam memastikan orang tua berkeupayaan membawa kereta atau motosikal terutama di jalan yang sibuk.
Jika orang tua mereka mempunyai tahap kesihatan tidak memuaskan dan boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain, jangan benarkan memandu dan perlu menyerahkan kembali lesen memandu.
Sehubungan itu, cadangan mengetatkan syarat lesen memandu secara menyeluruh tanpa menilai tahap kesihatan warga emas terlebih dahulu adalah menyusahkan dan boleh menyekat pergerakan mereka seperti untuk ke masjid, kedai terutama di kampung.
Kementerian Pengangkutan perlulah membuat kajian terperinci agar mobiliti warga emas tidak disekat dalam mereka menguruskan hak peribadi dan keluarga.
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang.