SAUDARA PENGARANG,
PENGGUNAAN barangan elektrik di rumah atau tempat kerja semestinya memudahkan pengguna dalam melaksanakan rutin harian. Pun begitu, ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya digunakan dengan cara yang salah atau kelalaian dalam menjaga aspek keselamatan.
Banyak kebakaran atau renjatan elektrik berlaku dan lebih menyedihkan sekiranya melibatkan kehilangan nyawa. Jadilah pengguna yang arif dan berilmu dalam hal-hal pengguna selain sentiasa berhati-hati apabila menggunakan peralatan elektrik.
Jangan sesekali membuat sambungan lebih daripada satu soket dan jangan menggunakan palam atau plag yang rosak dan pecah. Jangan guna peralatan elektrik yang rosak atau pecah.
Apabila bekerja menggunakan peralatan elektrik, sila prihatin terhadap langkah keselamatan. Ini kerana nisbah kematian terhadap kecederaan adalah tinggi dalam kemalangan elektrik berbanding kemalangan kategori lain. Antara akibat sekiranya bersentuhan dengan elektrik:
1. Kejutan elektrik
Ia berpunca daripada pengaliran arus elektrik berlebihan melalui badan seseorang yang boleh menyebabkan fungsi tubuh seperti urat saraf, otot atau organ menjadi tidak normal.
2. Tisu badan terbakar
Ia akibat pemanasan arus elektrik yang berlebihan.
3. Kebakaran elektrik
Ia berpunca daripada pemanasan berlebihan peralatan elektrik dan bersentuhan dengan bahan-bahan mudah terbakar.
Oleh itu, pengguna perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika menggunakan barangan elektrik agar dapat mengelakkan daripada perkara tidak diingini.
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna
Negeri Sembilan