SAUDARA PENGARANG,
MENGIMBAU kegemilangan lalu, beberapa bintang bola sepak negara berjaya mencipta nama besar serta menerima pelbagai gelaran. Antaranya jeneral di padang, arkitek padang, midfielder terbaik yang pernah menyinar. Keadaan ini menceritakan betapa besarnya nama dan gelaran tersebut di hati peminat sukan itu.
Antara nama besar yang masih terpahat sehingga ke hari ini selepas era Datuk Mokhtar Dahari ialah Azizul Abu Haniffa, Karim Pin, Nidzam Adha Yusuf, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hasan, Khalid Jamlus, Serbegeth Singh, Azrul Amri Burhan dan ramai lagi.
Mengenai persediaan bagi menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki yang akan bermula Disember ini, ia akan menjadi penanda aras sebenar tahap pencapaian dan petunjuk prestasi utama (KPI) pasukan Harimau Malaya.
Sementelah itu, adakah masih terdapat sinar cahaya di hujung terowong sana bahawa Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih mampu membuka laluan cerah untuk melakar sejarah baharu pasukan bimbingannya sebaris pasukan negara dari Asia Timur dan Barat seterusnya layak ke Sukan Asia 2023 di China nanti?
Namun, tidak diduga berdasarkan reaksi serta maklum balas yang diluahkan menerusi sosial media, ternyata kebanyakannya melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Cheng Hoe yang membawa kepada kekalahan pasukan negara dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Amman, Jordan.
Kebanyakan pemerhati serta peminat sukan bola sepak tanah air sudah mula meragui keupayaan Cheng Hoe kerana dirasakan pasukan di bawah bimbingannya berada dalam keadaan sangat tenat.
Saya amat bersetuju dan berpandangan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum terlambat untuk mendapatkan seorang calon jurulatih baharu. Bagi saya, dia adalah Frank Bernhardt. Bernhardt dalam kerjayanya berjaya melahirkan ramai pemain baharu. Malah ramai anak didiknya kini berada dalam barisan skuad kendalian Cheng Hoe.
Kemampuan Bernhardt sudahpun teruji dan dibuktikan semasa mengendalikan Projek Sukan SEA 2017 bermula sejak 2016. Namun, ketika itu, kontraknya ditamatkan oleh FAM serta-merta.
Apa yang dikesalkan ketika itu ialah FAM dilihat membuat keputusan terburu-buru yang akhirnya membawa natijah buruk terhadap skuad projek Sukan SEA 2017 kerana gagal membawa pulang emas.
Melalui usaha keras Bernhardt, beberapa bintang seperti Safawi Rashid, Ahmad Syafiq, Irfan Zakaria dan ramai lagi dilahirkan.
Bagi mengembalikan maruah bola sepak negara, sudah tiba masanya FAM bersikap terbuka dan bersedia menerima kritikan serta mempertimbangkan mana-mana pandangan atau pendapat pihak lain demi kebaikan bersama dalam usaha ke arah meningkatkan prestasi pencapaian bola sepak kebangsaan.
Justeru, Bernhardt adalah calon paling tepat bagi menjelmakan karakter permainan untuk Skuad Harimau Malaya yang lebih mantap serta boleh melahirkan player marker terbaik.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang