SAUDARA PENGARANG,
PESISIR pantai Melaka tidak lagi membawa khabar gembira buat pencari udang geragau akibat projek tambakan laut.
Jika suatu waktu dahulu setiap nelayan mampu memperoleh sekitar 200 hingga 300 kilogram (kg) tangkapan udang geragau setiap kali turun ke laut, kini hanya sekitar 20 hingga 30 kg yang mampu diraih bagi digunakan dalam industri pembuatan belacan dan cencaluk.
Beberapa usaha dilakukan kerajaan negeri termasuk projek pemulihan habitat udang serta pembelian udang geragau dari Selangor dan Perak bagi menampung kekurangan bekalan.
Kemelut politik terkini diharap tidak membantutkan usaha tersebut yang amat diperlukan masyarakat setempat yang telah sekian lama tertekan.
Saya berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini sedikit sebanyak dapat merungkai kemelut politik yang melanda.
Meskipun PRN Sabah pada September tahun lalu menyebabkan gelombang ketiga penularan Covid-19, namun situasi di Melaka dilihat berbeza dengan mengambil kira situasi negara sudah bersedia memasuki fasa endemik dengan kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.
Hakikatnya, rakyat tidak ambil peduli soal politikus yang saling hilang kepercayaan dan menarik sokongan sesama sendiri.
Apa yang rakyat harapkan adalah jumlah jangkitan harian kes Covid-19 dapat terus turun, tiada kes kematian dan mereka tidak hilang pekerjaan.
Apapun, memandangkan kadar jangkitan harian kes Covid-19 masih melepasi empat angka dan mengambil masa untuk kembali pulih seperti sediakala, maka prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu dilaksanakan pada PRN Melaka.
Antaranya kurangkan kempen secara fizikal dan perhimpunan awam serta hadkan pergerakan keluar masuk jentera parti dari luar Melaka.
Apakah isu kepupusan udang geragau, projek tambak laut, kebajikan pekerja yang diberhentikan akibat pandemik, pemulihan ekonomi dan sektor pelancongan akan bergema dalam kempen kali ini?
Hanya calon-calon wakil rakyat dan parti yang diwakili akan menentukannya nanti.
MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya.