SAUDARA PENGARANG,
ISU penjualan minuman keras jenama Timah di negara ini bukan sahaja mencetus kemarahan umat Islam tetapi menunjukkan kelemahan pihak berwajib dalam meluluskan penggunaan jenama atau istilah sesuatu produk.
Kemarahan itu boleh dilihat bukan sahaja di media arus perdana tempatan tetapi di media sosial oleh orang ramai, ulama dan tokoh Islam sehingga adanya gerakan untuk memboikot produk minuman keras berkenaan.
Umum tahu, arak adalah haram bagi umat Islam. Justeru, pihak berwajib perlu lebih tegas dengan tidak membenarkan sebarang penggunaan nama atau istilah yang menggambarkan Islam walaupun ia diperjelaskan oleh pengeluar produk tersebut.
Ini kerana ia boleh mendatangkan kekeliruaan dalam kalangan umat Islam dan lebih merisaukan lagi jika ia dijual di pasar raya kecil.
Sudah tiba masanya pihak berwajib termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) menyemak semula dan lebih teliti serta telus dalam urusan permohonan lesen perniagaan terutama berkaitan jualan minum keras. Beberapa aspek wajib wajar dikenakan termasuk penggunaan istilah dan gambar mirip serta berkait Islam.
A.R.KHALIL, Ampangan, Seremban