SAUDARA PENGARANG,
PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara sekarang membuktikan sangat sukar untuk melawan virus halimunan kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kita.
Walaupun sukar, kerajaan tidak mudah menyerah kalah apabila mengambil pelbagai langkah untuk memastikan ia tidak terus menjadi ancaman kepada rakyat.
Sebenarnya terdapat satu lagi serangan halimunan yang tidak dapat dilihat oleh mata kita, iaitu fenomena peningkatan suhu bumi akibat perubahan iklim yang memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.
Fenomena gelombang haba menyebabkan penularan penyakit berkaitan suhu panas dan meningkatkan kadar kematian.
Ia boleh menyebabkan seseorang kehilangan air dalam badan seterusnya diserang strok haba yang boleh membawa maut.
Selain itu, peningkatan suhu bumi menyebabkan pertambahan tahap kepekatan pencemaran udara yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan manusia.
Malaysia tidak terkecuali menerima kesan daripada gelombang haba.
Contohnya pada tahun ini, 10 daerah di Semenanjung diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan merekodkan gelombang haba tahap kuning.
Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, 10 daerah tersebut adalah Tampin, Tangkak, Kluang, Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang, Hilir Perak, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.
Malaysia pernah merekodkan gelombang haba tahap merah atau kecemasan pada 1998.
Suhu tertinggi pernah direkodkan pada tahun itu adalah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis disebabkan fenomena El Nino sehingga berlaku musim kemarau panjang.
Jika pencemaran alam terus berlaku dan kesan rumah hijau tidak dikawal dengan efektif, negara ini berisiko tinggi dilanda cuaca melampau kesan daripada perubahan iklim.
Oleh itu, setiap individu perlu memainkan peranan dalam menghadapi masalah perubahan iklim.
Mereka boleh membantu mengurangkan kesan rumah hijau menggunakan bahan bakar fosil dalam jumlah sedikit.
Program kesedaran mengenai kesan buruk perubahan iklim perlu dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh kepada masyarakat.
Hal ini perlu dititikberatkan dari bangku sekolah lagi bagi membentuk pemikiran generasi muda yang berasa bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar dan mengurangkan kesan perubahan iklim.
Dalam pada itu, kerajaan mewujudkan Dasar Perubahan Iklim Negara pada 2009 bagi menghadapi cabaran perubahan iklim secara menyeluruh dan bersepadu.
Dasar ini bertujuan memastikan pembangunan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim bagi memenuhi aspirasi negara dalam menerajui kelestarian.
Secara khususnya dasar ini menjadi satu panduan dalam pelan pembangunan di mana perubahan iklim diambil kira dalam perancangan, pelaksanaan dan setiap keputusan yang dibuat.
Selain itu, dasar ini mendukung pertumbuhan ekonomi secara lestari berserta pemuliharaan alam sekitar dan juga pembangunan modal insan.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk mendukung dasar ini dan memastikan setiap pembangunan dilakukan tidak mengorbankan kelestarian alam yang menjadi tonggak kepada kestabilan iklim.
Perubahan iklim adalah isu global yang tidak dapat dielakkan dan kita mesti bersedia menghadapi kesan buruk daripada fenomena ini.
MOHAMED KHATIF TAWAF, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang.