Badut kelas mungkin pintar tapi ‘kacau’ sesi sekolah - Utusan Malaysia

Badut kelas mungkin pintar tapi ‘kacau’ sesi sekolah

KEBANYAKAN pihak menganggap tidak sesuai bergurau ketika berada di dalam kelas. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SESI persekolahan secara bersemuka di negara ini sudah mula dibuka secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 3 Oktober lalu.

Bagi negeri-negeri Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan buka bagi pelajar kelas peperiksaan sahaja. Negeri Fasa 3 pula, sekolah dibenarkan buka bagi kelas peperiksaan dan pelajar lain.

Oleh itu, para pelajar sekali lagi akan melalui pengalaman yang dianggap kurang menyenangkan apabila di dalam setiap kelas mungkin akan mempunyai beberapa orang yang gemar bergurau jika ada peluang.

Walaupun ramai yang melihat individu ini atau dipanggil badut kelas sebagai tidak matang dan cuba menarik perhatian, satu kajian baharu menunjukkan kebolehan menyatakan sesuatu yang menggelikan hati ketika remaja mungkin merupakan tanda seseorang itu mempunyai kecerdasan tinggi.

Penyelidik mendapati kanak-kanak dengan tahap pengetahuan umum yang lebih tinggi daripada purata dan berkebolehan ber­fikir secara logik serta sistematik cenderung untuk bergurau. Gemar membuat humor, itu tanda anak anda pintar.

Bagaimanapun, perkara sama tidak semestinya berlaku untuk orang dewasa. Penyelidik tidak menemui hubungan yang sama kuat antara humor dan kecerdasan orang dewasa.

Dalam satu kajian yang mengumpulkan lebih 200 kanak-kanak, mereka diminta menulis kapsyen bagi 10 kartun berbeza.

Setelah mengumpulkan semua kapsyen yang ditulis, sekumpulan tujuh pakar humor menilai keseronokan dan kesesuaian setiap kapsyen dengan kartun.

Secara keseluruhan, para penyelidik mendapati wujud corak yang jelas antara individu yang bijak dengan kebolehan menulis kapsyen kartun yang baik. Ini bermakna kecerdasan sangat berkait rapat dengan humor.

Ibu bapa dan guru harus sedar bahawa jika anak-anak atau pelajar mereka sering membuat humor berkualiti, besar kemungkinan mereka mempunyai kecerdasan yang luar biasa.

Kajian juga mendapati kanak-kanak yang mempunyai tahap pengetahuan umum lebih tinggi daripada purata dan berkebolehan berfikir secara logik serta sistematik mempunyai keperibadian lebih menyenangkan berbanding rakan sebaya mereka yang lain.

Kajian ini juga tidak menemukan hubungan yang kuat antara humor dan kecerdasan orang dewasa. Bagaimanapun, perkara ini perlu dikaji secara lebih lanjut bagi mempertimbangkan peranan budaya dalam semua ini.

Kajian terdahulu lebih memberikan fokus kepada negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat yang mungkin berpunca daripada faktor budaya sesebuah negara yang menganggap orang dewasa yang cerdik tidak elok untuk bergurau.

Humor sering digunakan untuk hiburan oleh orang dewasa manakala kanak-kanak menggunakannya untuk penerimaan rakan sebaya. Oleh itu, sifat humor orang dewasa dan kanak-kanak adalah berbeza.

Bagaimanapun, kita harus ingat, walaupun tujuan asal bergurau adalah untuk mencetuskan suasana gembira dan ketawa, namun apabila dilakukan secara berlebihan ia boleh membawa keburukan.

Contohnya, apabila seorang pelajar mencipta suasana ceria dengan gurauan melampau terhadap rakan. Meskipun ia mengundang ketawa tetapi situasi itu dilihat sebagai perbuatan tidak beradab.

Begitu juga gurauan anak murid terhadap guru yang dibuat secara terbuka di dalam kelas sehingga menjatuhkan air muka guru pun adalah satu tindakan yang tidak sopan.

AZIZI AHMAD, Segambut Luar, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya