Yakini anak muda pimpin negara - Utusan Malaysia

Yakini anak muda pimpin negara

ANAK muda perlu dilengkapi pelbagai ilmu termasuk kepimpinan dalam memastikan mereka mampu mewarisi pentadbiran negara satu hari nanti. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA biasa dengar anak muda merupakan aset amat berharga serta menjadi tonggak dan kekuatan masa hadapan sesebuah negara. Golongan ini juga sering dilabel sebagai pewaris kepimpinan dan kesinambungan citra kejayaan negara kelak.

Namun, persoalan yang sering  timbul dalam kalangan masyarakat adalah sejauh mana kesediaan generasi pelapis ini menerima pemimpin sedia ada dalam memastikan kejayaan negara  terjaga? Ditambah kecelaruan politik semasa dan bahana pandemik global yang tidak nampak surutnya, persoalan ini nampak semakin hari semakin relevan.

Maka atas kesedaran inilah, sekumpulan anak muda dengan kerjasama pelbagai agensi memberanikan diri menubuhkan sebuah gerakan melalui platform, Kemuncak Kepimpinan dan Aspirasi Kebangsaan (NALS) pada 2013. 

Edisi 2018 menyaksikan NALS berjaya mencatatkan Malaysia Book of Records untuk jumlah pembentang teramai dalam sebuah persidangan belia. Namun, secara peribadi, boleh saya katakan ini bukanlah pencapaian yang harus dibangga dan diingati. Apa yang perlu diingati adalah NALS saban tahun menjadi medan anak muda dari seluruh negara membuktikan keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan mereka untuk sama-sama memajukan negara. 

Kesemua peserta dan pembentang bersatu hati berusaha sehabis baik membantu Malaysia melahirkan rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat berkualiti dan ekonomi dinamik dan berdaya tahan.

Untuk edisi tahun ini yang dilakukan secara dalam talian dijangka menarik lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli politik dan angkasawan pertama negara. 

Saya yakin, keterlibatan anak muda sebagai pemangkin transformasi negara, baik dalam apa juga bidang. 

Keberhasilan daripada pembentangan tersebut bakal dikongsi dengan masyarakat demi membuktikan semangat anak muda ini bukan hanya omong kosong tetapi penuh berinti.

Sinar harapan Malaysia akan kekal cerah selagi anak muda diberi kepercayaan dan disuburkan dengan budaya kepimpinan yang tersusun, dinamik dan harmoni.

NUR SYAZWANI MOHAMAD JOHARI, Mahasiswa tahun akhir Sains Komputer, Universiti Malaya 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya