SAUDARA PENGARANG,
PEJAM celik sudah hampir 12 tahun penubuhan stesen televisyen islamik pertama di Malaysia, TV AlHijrah yang menjadikan golongan muda di bawah 40 tahun sebagai kumpulan sasaran.
Pendekatan yang dibawa oleh stesen televisyen tersebut terbukti berjaya memikat hati ramai penonton yang dahagakan rancangan-rancangan berteraskan Islam. Kata-kata Islam itu indah, begitu sinonim dalam kehidupan masyarakat kita.
Oleh itu, sudah tiba masanya diwujudkan saluran televisyen islamik untuk kanak-kanak dan remaja. Saluran televisyen terbabit boleh menjadi ganti setelah ramai kanak-kanak dan remaja terhalang untuk menghadiri kelas agama secara bersemuka berikutan situasi pandemik Covid-19 yang belum reda.
Peranan yang boleh dimainkan setiap anggota masyarakat adalah menyediakan bahan-bahan untuk siaran televisyen berkenaan yang berteraskan nilai-nilai murni berpaksikan kepada al-Quran dan hadis.
Dalam pada itu, sepanjang musim pandemik, didapati tiada satu pun rancangan pertandingan bacaan al-Quran mahupun hafazan ala-ala rancangan popular Ceria Pop Star dan sebagainya dianjurkan sungguhpun program sedemikian boleh dijalankan secara dalam talian.
Situasi beginilah yang menyebabkan kita merasakan perlu diwujudkan saluran alternatif islamik dan rancangan bercorak keagamaan untuk kanak-kanak dan remaja.
Mereka perlu dididik seawal usia muda sebelum terlambat kerana apabila mereka mencecah usia tua, ketika itu ibarat nasi sudah menjadi bubur. Golongan tua lebih sukar dididik kerana mereka tidak mudah dipengaruhi.
Dalam pada itu, satu isu yang mahu dibangkitkan adalah tindakan stesen televisyen berbayar mahupun tidak berbayar yang menayangkan rancangan kartun dari luar negara yang banyak memaparkan dunia fantasi. Inti pati rancangan kartun yang dibawa dari luar negara tidak seiring dengan ajaran al-Quran dan hadis.
Syabas dan tahniah kepada penerbit rancangan kartun di Malaysia seperti Omar dan Hana, Ummi Ceritalah Pada Kami dan Kisah Himpunan Al-Quran.
Tidak lupa juga rancangan dari negara jiran, Indonesia seperti Nussa. Usaha mereka dilihat sangat murni dan jelas untuk membimbing kanak-kanak mendekati ajaran Islam sebenar.
Malah, idea-idea segar dalam pendekatan mereka memang mirip dengan cara hidup masyarakat Islam serumpun.
Rancangan kartun seperti Upin dan Ipin juga tidak kurang hebatnya memaparkan nilai-nilai islamik malah sangat dekat di hati kanak-kanak Malaysia dan negara-negara jiran terdekat.
Tidak sekadar mengambil contoh rancangan kartun, malahan drama bercorak islamik seperti Salam Squad dan yang terkini Ismi Solehah dilihat begitu mudah untuk difahami dan lakon layarnya juga menepati ajaran Islam itu sendiri.
Jika saluran televisyen islamik untuk kanak-kanak dan remaja menjadi kenyataan, laungan azan dan iqamat untuk setiap solat lima waktu boleh ditambah dengan solat sunat seperti duha, tahajud dan gerhana yang diimamkan kanak-kanak atau remaja secara siaran lintas langsung.
Kaedah pembelajaran agama yang terbaik mungkin boleh diperoleh melalui kelas-kelas di masjid, madrasah dan majlis ilmu lain.
Namun, sudah tiba masanya kita ‘memadrasahkan’ televisyen sebagai satu cara pembelajaran bagi kanak-kanak dan remaja di negara ini.
NURUL ZAMRATUL ASYIKIN AHMAD dan ROSZI NASZARIAH NASNI NASERI, UiTM Melaka Kampus Alor Gajah.