Wuduk, pelitup muka elak virus - Utusan Malaysia

Wuduk, pelitup muka elak virus

RAKYAT Taiwan lebih berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard Covid-19 berbanding penduduk Malaysia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KADAR vaksinasi di Malaysia adalah antara tertinggi dan terlaju di dunia. Sehingga 8 September lalu, sebanyak 51.6 peratus rakyat telah lengkap dos kedua.

Malah jika dinilai lebih teliti, kadar vaksinasi ini adalah lebih tinggi daripada sesetengah negara seperti Taiwan yang sehingga tarikh tersebut hanya 4.3 peratus daripada 23.6 juta penduduk mendapat vaksin lengkap.

Walaupun kadar vaksinasi di Taiwan jauh lebih rendah, mereka bebas melakukan aktiviti harian, tidak menjalani sekatan pergerakan dan pada 25 Ogos lalu negara itu mencatatkan sifar jangkitan tempatan.

Pada 8 September lalu, jumlah kematian akibat Covid-19 hanyalah 837 orang di Taiwan berbanding di Malaysia sebanyak 19,163 orang. Bagaimanakah ini berlaku?

Taiwan yang pernah berhadapan serangan virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002 memberi impak pada gaya hidup rakyatnya.

Rakyatnya amat berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam rutin harian.

Kuarantin kendiri diamalkan terutama oleh golongan bergejala dalam memastikan penularan virus tidak berlaku dalam komuniti mereka.

Selain itu, penguatkuasaan ketat oleh pihak berwajib juga pelengkap kepada usaha mereka menangani pandemik.

Sebaliknya di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah kerap mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP ketika berurusan di luar rumah.

Kemudahan dan kelonggaran yang diberikan bukan kerana keadaan negara telah selamat, tetapi disebabkan oleh desakan ekonomi.

Terkini, Noor Hisham mengingatkan individu yang telah mendapat vaksinasi lengkap masih berisiko untuk mendapat jangkitan serta menyebarkan virus.

Justeru, memakai pelitup muka dengan betul adalah penting terutama jika perlu berurusan di tempat awam yang tertutup serta terhad tahap pengudaraannya.

Menyedut sedikit air ke dalam hidung sebelum berwuduk boleh diamalkan oleh mereka yang beragama Islam. Ini dapat membantu membersihkan dan sekali gus dapat mengelakkan pertumbuhan virus di kawasan hidung.

Kebimbangan masyarakat turut memuncak apabila media melaporkan kewujudan varian baharu seperti Delta Plus dan Lambda.

Walaupun tiada kes dilaporkan di Malaysia setakat ini, media melaporkan kebanyakan situasi jangkitan yang ada adalah tidak bergejala tetapi hakikatnya pesakit sedang mengalami tahap bahaya.

Kementerian Kesihatan mencadangkan dilakukan pemantauan kendiri untuk mengelakkan sesuatu tidak diingini berlaku.

Selain memiliki mesin bacaan oksimeter di rumah, penggunaan ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) adalah digalakkan supaya pemantauan awal dapat dibuat, seterusnya membolehkan kita mendapatkan rawatan segera.

Jelas, tugas melawan pandemik ini bukan tertakluk kepada barisan hadapan atau kumpulan tertentu sebaliknya adalah usaha kolektif.

INTAN LIANA SUHAIME & SITI ROHANA DAUD, UiTM Cawangan Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya