SAUDARA PENGARANG,
PADA 2 September lalu, dunia maya tanah air kecoh ekoran hantaran tular oleh beberapa warganet yang cuba tunjuk pandai, namun akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Ia berikutan ciapan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam bahasa Inggeris melalui akaun Twitter yang mengesahkan penetapan harga siling kit ujian Covid-19.
Bagaimanapun, ejaan ceiling yang bermaksud siling dalam ciapan itu diperbetulkan pula oleh warganet kononnya sebagai salah dengan mereka pula mengeja sebagai selling atau jualan.
Silap faham ejaan oleh warganet ini bagaimanapun mengundang kritikan ramai pengguna media sosial lain kerana apa yang dieja Khairy itu memang betul kerana ia adalah istilah ekonomi yang merujuk kepada harga barang paling tinggi boleh dikenakan oleh penjual kepada pembeli.
Mungkin ada yang menganggap kekecohan itu adalah isu remeh tetapi sebenarnya memberi bayangan tentang tahap celik ekonomi masyarakat kita.
Literasi ekonomi ini bermaksud masyarakat mempunyai pengetahuan asas dalam bidang ekonomi dan mampu menggunakan pengetahuan tersebut untuk membuat keputusan terutamanya dalam mengelola sumber dengan baik dan cekap.
Jikalau terma-terma asas dalam ekonomi pun masih asing, bagaimana kita mahu mendidik orang ramai menggunakan sumber ekonomi yang terhad ini dengan baik?
Masyarakat yang bijak memilih dan mengetahui perbezaan antara keperluan dan kehendak.
Perkara lebih besar, celik ekonomi perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat supaya mereka dapat menghayati usaha kerajaan, memahami pelaksanaan polisi sekali gus membantu pemerintah mencapai objektif dasar yang telah ditetapkan.
Misalnya pelaksanaan harga siling, masyarakat perlu tahu tujuan, kumpulan yang menerima manfaat dan kemungkinan-kemungkinan bakal berlaku.
Pengetahuan ini akan melahirkan masyarakat yang faham sekali gus menyokong usaha kerajaan. Kita mahukan masyarakat yang lebih kritis dalam mengolah konsep-konsep ekonomi.
Misalnya, mereka tidak hanya mentafsirkan penganggur itu individu yang tidak bekerja. Tetapi maksud penganggur sebenar adalah individu yang tidak bekerja tetapi sedang aktif mencari pekerjaan.
Mereka juga tidak hanya mentakrifkan inflasi itu situasi kenaikan harga tetapi kenaikan harga secara berterusan dengan mengetahui alat pengukurnya, jenis dan impak.
Sebenarnya ketukan papan kekunci oleh warganet boleh mempengaruhi dan memberi input dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan khususnya bab ekonomi.
Jadi, kita memerlukan warganet yang lebih bijak di mana kritikan daripada mereka lebih berorientasikan manfaat yakni memberi solusi, bukanlah sekadar mencari kesalahan.
Usaha meningkatkan literasi ekonomi ini perlu menyeluruh, bermula dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.
Hak literasi ekonomi ini perlu bermula dari awal kerana ia adalah persediaan kepada golongan yang masih muda menguruskan diri dan kehidupan sosial mereka sebagai masyarakat.
Sebagaimana kita menekankan kepentingan pelajaran sains di peringkat sekolah rendah, pelajaran ekonomi juga perlu dititikberatkan.
Ini kerana ekonomi adalah berkaitan tingkah laku manusia untuk mendapat dan mengelola sumber yang terhad di sekeliling mereka dengan bijak.
HAZALINDA HARUN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.