Utamakan perut rakyat, tangguh lain - Utusan Malaysia

Utamakan perut rakyat, tangguh lain

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan sektor pertanian khususnya jaminan bekalan makanan diberi keutamaan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan industri makanan negara tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import dalam jangka masa panjang.

Keputusan itu dibuat berdasarkan potensi sedia ada industri pertanian negara, juga kesinambungan pakej-pakej rangsangan sebelum ini dan Belanjawan 2021 yang menjadikan perkara itu sebagai salah satu elemen utama.

Saya berharap pembentangan Belanjawan 2022 pada bulan depan turut memberi penekanan pada aspek kebajikan rakyat.

Ini kerana apa yang rakyat harapkan sangat sekarang adalah bantuan daripada kerajaan kerana mereka sedang mengalami kesempitan hidup yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Ramai rakyat menganggur terutama yang bekerja sendiri. Cukup berat sekali mereka hendak menyara keluarga bagi memastikan anak-anak tidak kelaparan.

Ada yang sampai terpaksa bergolok-bergadai dan hingga ke tahap mengangkat bendera putih bagi menagih simpati daripada orang ramai kerana dapur sudah tidak berasap.

Paling ditakuti disebabkan kesempitan hidup, sewa rumah tidak mampu dibayar hingga terpaksa menjadi gelandangan.

Saya ada terdengar kisah, keluarga bercerai-berai kerana ketua keluarga tidak bekerja dan ada kes sampai terjun jambatan kerana tidak mampu lagi menanggung kesusahan.

Mohon kebijaksanaan Menteri Kewangan untuk memastikan Belanjawan 2022 memberikan tumpuan lebih untuk menjaga kebajikan rakyat berbanding peruntukan untuk bidang-bidang lain.

Peruntukan pembangunan dan seumpamanya bolehlah ditangguhkan dahulu untuk memberikan laluan penyaluran bantuan kepada rakyat yang kini benar-benar terasa bahang kesan buruk pandemik Covid-19.

Kalau hendak disalurkan juga peruntukan untuk pembangunan, keutamaan harus diberikan kepada Kementerian Kesihatan.

Ini penting bagi membolehkan hospital dan klinik kesihatan dinaik taraf dan diperbesarkan bagi mengelak kesesakan berterusan sehingga ada pesakit terpaksa diletakkan di luar wad.

Amat mendukacitakan kerana saya difahamkan terlalu ramai pesakit jantung yang terpaksa menunggu giliran untuk dibedah yang kadangkala sampai bertahun-tahun lamanya sehingga ada yang meninggal dunia sebelum sempat dirawat.

Projek-projek kurang penting diharap ditangguhkan dahulu. Tumpuan sepenuhnya adalah bagaimana untuk memulihkan ekonomi negara agar semua rakyat dapat bekerja dan mendapat gaji setimpal.

Dalam pada itu, Allah telah kurniakan Malaysia dengan sumber bumi yang banyak dan tanah subur. Kita semua perlu rajin untuk menceburi bidang pertanian agar tidak perlu lagi mengimport makanan.

Hasil bumi yang dilombong perlu diurus dengan baik tanpa sebarang penyelewengan. Jika semua ini dibuat, negara kita boleh bersaing dengan negara-negara maju lain.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya