SAUDARA PENGARANG,
ALLAHYARHAM Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini sememangnya disegani ramai kerana pernah terbabit mengendalikan beberapa kes jenayah berprofil tinggi di negara ini.
Banyak yang telah disiarkan dalam akhbar mengenai kecemerlangan Allahyarham terutama ketika menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dari 1989 hingga 1993.
Antara yang berasa kehilangan Allahyarham ialah bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar.
Beliau yang menjawat jawatan itu selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994 adalah bos Zaman Khan yang menyaksi sendiri kecemerlangan anak buahnya.
Setelah bersara, hubungan kedua-dua mereka masih rapat kerana sama-sama aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Zaman Khan mempunyai darah keturunan Melayu daripada sebelah ibunya, Mek Harun yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Bapanya, Rahim Khan Ghulam Haider adalah berketurunan Pathan iaitu suku majoriti di Afghanistan.
Ironinya, ketika negara itu masih huru-hara, seorang tokoh yang bapanya berasal dari sana telah memberi sumbangan cukup besar bagi mewujudkan keamanan di Malaysia.
Pada 1993, tahun terakhir Zaman Khan sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman menyaksikan paling banyak kes berprofil tinggi disiasat beliau.
Allahyarham berjaya kerana berpegang kepada prinsip pegawai penyiasat terbaik perlu tahu fakta kes dan motif.
Elemen bernasib baik hanya satu peratus dan selebihnya 99 peratus adalah kerja keras.
Ini termasuk menyelesaikan kes pengedar dadah, P. Kalimuthu atau lebih dikenali Bentong Kali yang mengganas dengan menembak mati ramai orang.
Allahyarham tidak dapat lupa apabila Bentong Kali menelefonnya mengugut dia nak jumpa sambil beberapa kali berkata nak ‘hentam’ beliau.
Zaman Khan tidak gentar, sebaliknya menyuruh penjenayah itu bertemu dengannya di sebuah kelab golf tetapi dia tidak datang.
Oleh kerana susah sangat hendak memberkas Bentong Kali sebab dia mempunyai banyak ‘kaki’ yang memberi maklumat, maka Zaman Khan membuat hebahan menyatakan penjenayah itu tiada di Kuala Lumpur.
Helah itu menyebabkan Bentong Kali cuai sedangkan polis telah menyasarkan sebuah rumah dua tingkat yang disewanya di Medan Damansara, Bangsar, Kuala Lumpur sehingga akhirnya dia ditembak mati di situ.
Menurut Zaman Khan, pada waktu itu ramai tidak percaya Bentong Kali telah ditembak mati termasuk bosnya, Mohammed Hanif.
Pada tahun sama, Allahyarham terlibat menyelesaikan kes pembunuhan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Talam, Pahang, Datuk Mazlan Idris oleh Maznah Ismail atau Mona Fandey bersama suami, Mohd. Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Hussin.
Allahyarham yang terlibat secara langsung menyoal siasat Mona Fandey mengakui kes itu memberi kesan mendalam kerana beberapa kali mengalami kaki bengkak dan sentiasa terbayang-bayang tengkorak mangsa.
Ketika menjadi Ketua Pengarah Penjara (1994-1997), pelbagai cerita timbul termasuk Mona Fandey dikatakan mengamalkan ilmu hitam di Penjara Wanita Kajang untuk membolehkannya menghilangkan diri.
Beliau juga antara pegawai kanan polis yang terawal tiba di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers runtuh pada 1993.
Satu lagi yang kurang diketahui adalah selain golf, sukan ragbi boleh dikatakan sebagai hidup kedua beliau yang pernah dilantik sebagai Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia.
POLIS PENCEN, Rawang, Selangor.