SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin merujuk artikel bertajuk Elok wakil rakyat Pas tidak sertai kerajaan yang diterbitkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 14 September lalu.
Terlebih dahulu kita hendaklah memahami keadaan negara setelah wujudnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Jika boleh diingat semula, Pas pernah mengatakan haram menyokong UMNO ekoran parti tersebut menjalin kerjasama dengan mereka yang bukan beragama Islam, namun ironi Pas juga pernah bersekongkol dengan DAP.
Kedua, Pas juga pernah kata hendak laksana hukum hudud tetapi mereka tidak bertanding di semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyebabkan parti itu kini hanya tinggal 18 kerusi.
Semasa menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat, Pas tidak membantah apabila bertambahnya ‘lesen-lesen maksiat.’ Ini bermakna Pas ketika itu hanya berniat untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) semata-mata.
Namun ketika bergabung dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN jelas memperlihatkan kerajaan ketika itu benar-benar kukuh, padu dan mantap tetapi setelah masa berlalu, Pas dilihat lemah.
Dalam memberi pendapat dan pandangan tidak salah tetapi biarlah berpaksikan kepada keadaan semasa.
Semua parti politik ada kelemahan dan kesilapan serta tiada yang sempurna, pun begitu anjakan perubahan perlu dilakukan dan ia amat wajar bagi memastikan sesebuah parti itu masih relevan.
BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor