Tiada bekalan elektrik sejak 13 tahun - Utusan Malaysia

Tiada bekalan elektrik sejak 13 tahun

KEADAAN sebuah rumah yang belum mendapat bekalan elektrik di Kampung Balai Badang, Segamat, Johor. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA berharap Utusan Malaysia yang menjadi akhbar kegemaran saya sejak kecil dapat mendedahkan kepada pihak berwajib mengenai masalah bekalan elektrik di Kampung Balai Badang, Buloh Kasap, Segamat, Johor.

Kami menghadapi masalah ini sejak 13 tahun lalu. Jiran saya sudah mempunyai cucu dan cucunya sudah semakin besar, tetapi masalah bekalan elektrik ini masih belum selesai.

Pelbagai pihak saya telah berurusan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), pejabat ahli Parlimen, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat penghulu dan pelbagai pihak lain.

Wakil Kementerian Pembangunan Luar Bandar dari Johor Bahru, wakil ADUN Buloh Kasap dan wakil pegawai daerah juga telah datang untuk melawat, tetapi janji hanya tinggal janji sejak dua tahun lepas.

Sebelum ini, saya telah membuat permohonan di TNB Cawangan Segamat tetapi tidak diluluskan.

Ia mungkin berpunca daripada faktor peruntukan kerana syarikat itu memerlukan banyak tiang elektrik yang dianggarkan lebih kurang 20 hingga 25 untuk penyambungan bekalan elektrik dari Kampung Puting ke Kampung Balai Badang kerana rumah kami agak jauh dari tiang elektrik utama.

Kami hampir berputus asa untuk berusaha bagi mendapatkan bekalan elektrik tetapi usaha ini perlu diteruskan demi masa depan anak-anak kami.

Mereka kini terpaksa belajar secara dalam talian berikutan situasi pandemik yang masih belum reda dan bagaimana komputer dan telefon hendak beroperasi jika tiada bekalan elektrik?

Diharapkan ini menjadi usaha terakhir kami untuk mendapat perhatian pihak berwajib terutama Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar yang baharu.

Saya yakin beliau cukup prihatin dengan masalah rakyat.

KHAIRUDDIN JANTAN @ JAMAL, Segamat, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya