SAUDARA PENGARANG,
PELETAKAN jawatan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa 1 Oktober ini bakal mengundang persoalan. Siapakah yang layak mengisi kekosongan ditinggalkan beliau?
Pengalaman luas Kim Swee bersama FAM selama 14 tahun bermula dari bawah sebagai Ketua Jurulatih Skuad B-16 pada 2007.
Skuad yang dilatihnya membawa pulang beberapa kejuaraan seperti pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013 dan pingat perak Sukan SEA 2017.
Kejayaan berkenaan melayakkan beliau memegang jawatan tersebut menggantikan Peter de Roo yang tidak menyambung kontraknya, Januari lalu.
Persoalan sama ada FAM akan mengambil anak tempatan atau pakar dari luar bagi mengisi kekosongan tersebut atau membiarkannya kosong seketika akibat pandemik yang melanda negara ketika ini masih menjadi teka-teki.
Apa yang pasti, sesiapa juga yang bakal diberi tanggungjawab menggalas tugas itu nanti sewajarnya dipilih dalam kalangan mereka yang arif dan mampu memberi impak kepada perkembangan bola sepak negara.
Calon itu bukan sahaja setakat berupaya untuk melahirkan pemain berbakat semata-mata, bahkan juga harus memiliki idea bernas dalam aspek pembangunan kejurulatihan dan instruktor bola sepak negara.
Prestasi de Roo yang tidak memberangsangkan ketika menggalas tugas tersebut menjadi polemik suatu ketika dengan ada yang beranggapan kepakaran tenaga luar tidak diperlukan kerana mereka tidak memahami budaya bola sepak tempatan selain kekurangan pemahaman dan masalah bahasa.
Kini terpulanglah kepada badan induk bola sepak itu menimbang secara bijak siapa yang layak untuk ditawarkan memikul tugas tersebut.
Lebih penting, pengalaman, kredibiliti serta pengetahuan mengenai apa yang diperlukan dalam pembangunan dan kemajuan bola sepak masa kini selari dengan budaya bola sepak tempatan adalah antara kriteria penting.
MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya.